Ahad, 14 Februari 2016

Dilema Pas: Antara survival politik atau maruah parti

Analisis Berita


SHAH ALAM - Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman berpendapat, satu kelebihan kepada Pas sekiranya mereka menerima semula ahli- ahli Amanah jika benar mereka mahu kembali kepada Pas.

Beliau berkata, Pas sedang dalam proses pengukuhan semula setelah berlaku perpecahan dengan Amanah, pastinya kemasukan semula bekas ahli akan memberi kekuatan pada Pas khususnya bagi politik Kelantan.

“Pas sebagai suatu parti lama pastinya pandai menilai sejauh mana kekuatan Amanah kerana Amanah adalah serpihan Pas.

"Kelebihan kepada Pas sekiranya mereka terima kembali. Lagi pun, fenomena lompat parti ini adalah lazim dalam politik.

Mungkin ini masanya untuk Pas menunjukkan kekuatan sebenar ketika PRU14 nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohd Fuad berkata, Amanah adalah parti baharu dan ia pasti akan melalui fasa penubuhan dan pengukuhan dengan menerangkan kepada umum apakah dasar serta perjuangan mereka.

“Pastinya rakyat juga memerlukan masa untuk mengenalinya (Amanah). Pada masa sama, tidak mustahil sekiranya ahli mereka akan kembali ke asal jika mereka kurang yakin dengan dasar dan perjuangan Amanah," katanya.

Dalam kenyataan lain, Pensyarah Kanan dan Penganalisis Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa UUM, Md Shukri Shuib berpendapat sebaliknya.

“Jika Pas menerima semula bekas ahli yang berpaling tadah kepada Amanah, ia jelas menggambarkan sikap murah dan dayusnya Pas.

“Pas usah lagi berharap kepada mereka yang pernah mengkhianati perjuangan parti itu kerana jika tidak, Pas adalah sebuah parti yang tiada prinsip," katanya.

Dalam perkembangan sama, Md Shukri berkata, beliau melihat perkara lebih penting di mana peranan Datuk Dr Haron Din dalam Pas harus diperkasakan.

Katanya, golongan ultra Pakatan merosakkan Pas dari dalam serta tidak amanah dan Islamik hingga sanggup mengganggu kestabilan kepimpinan Pas hingga Presiden yang bergelar Tok Guru turut dijadikan lawan.

“Adakah itu yang dikatakan jujur dan baik dalam perjuangan Islam yang Pas mahukan?

Pas perlu mengasingkan tokoh, pemimpin serta ahlinya yang berpaling kepada Amanah dan Pro Amanah supaya tidak menjejaskan Pas dari dalam.

"Bebaskan Pas dari anasir anti ulama dan anti perjuangan Pas yang mahukan Islam.

Menurutnya, pertentangan Pas dan Amanah seolah- olah tidak berkesudahan dan Pas harus menumpukan perhatian kepada parti utama lain seperti DAP yang banyak menyusahkan perjuangan Pas dari awal dalam Pakatan serta pencetus kecelaruan antara Pas dan Amanah.

Selain itu, katanya, Pas dan Amanah adalah sama gaya dan sikap kepimpinannya kerana mereka datang dari 'perut' yang sama.

Menurutnya, apa yang berbeza apabila Amanah dan tokohnya dipandang terlalu mesra dan lebih mementingkan agenda politik, berjiwakan tokoh DAP dan PKR berbanding pimpinan Ulama dalam Pas sendiri.

“Kedua- dua parti antara Pas dan Amanah perlu bersikap terbuka. Jangan kerana politik dan berbeza parti serta lompat parti membawa kepada isu kafir mengkafirkan.

"Budaya Pas dan Amanah seolah-olah sama. Tunjukkan gaya politik matang dan rasional yang boleh jadi tauladan pada orang ramai,” katanya

Tiada ulasan: