Rabu, 17 Februari 2016

DAP saran ahli Umno hadir kelas bahasa Inggeris

MALAYSIAKINI




Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini membidas kelemahan linguistik bahasa Inggeris yang dikuasai oleh pemimpin Umno dan tentera siber parti itu yang salah tafsir kenyataannya mengenai bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Sambil menyindir beliau berkata apa yang dikenali sebagai "graduan Universiti Umno”, sama ada menteri, ketua-ketua biro kebangsaan atau tentera siber parti itu perlu mengikuti pelajaran Bahasa Inggeris dan menggilap tahap pemahaman mereka supaya tidak terus membuat kesilapan itu pada masa depan.

Beliau merujuk laporan di blog Umno yang mendakwa timbalan presiden Umno itu adalah rekrut terbarunya dalam agenda 'Selamatkan Malaysia' sehingga yang mendorong Muhyiddin membuat penafian.

"Saya tidak pernah kata bahawa Muhyiddin adalah rekrut terbaru saya semasa ucapan di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, Pakatan Harapan, Johor pada malam Ahad lalu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Lim, hanya mereka yang paling bodoh dan tidak memahami bahasa Inggeris akan membuat kesimpulan seumpama itu.

Mengimbas kembali ucapannya, Lim berkata, beliau berkata "Rekrut terbaru untuk agenda Selamatkan Malaysia adalah tidak lain daripada bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pagoh yang mahu rakyat negara ini supaya bersatu untuk Selamatkan Malaysia daripada menjadi negara gagal.”

Menurut Lim yang juga adalah ahli parlimen Gelang Patah, dirinya tidak mempunyai monopoli terhadap konsep dan jenama "Selamatkan Malaysia" sambil menambah bahawa adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat yang patriotik termasuk tiga juta ahli Umno untuk melindungi negara.

"Sama ada kempen Selamatkan Malaysia dari dalam atau luar Umno boleh mencari titik pertemuan, hanya masa akan menentukan," katanya.

Muhyiddin semalam membuat penafian bahawa beliau adalah antara rekrut terbaru DAP dalam perjuangan parti itu untuk “Selamatkan Malaysia” dan berkata kenyataan berkaitan perkara itu oleh Lim adalah pandangan peribadi beliau.

“Saya tidak pernah direkrut oleh sesiapapun untuk menegakkan kebenaran.

“Apa yang saya suarakan selama ini adalah lahir daripada kesedaran saya sendiri mengenai nasib yang menimpa rakyat dan negara.

“Saya amat memahami perasaan rakyat yang bimbang dengan apa yang akan terjadi kepada Malaysia sekiranya pelbagai krisis yang melanda negara ekoran masalah kepimpinan perdana menteri berterusan. Kerana itulah saya mengambil pendirian untuk bersuara,” katanya.


Tiada ulasan: