Selasa, 23 Februari 2016

Dana kempen PRU13 tidak guna derma RM 2.6 bilion?

pru13
Gambar hiasan
 
 
PETALING JAYA - PKR mendakwa dana yang digunakan BN dalam kempen PRU13 lalu bukan daripada derma kontroversi melibatkan dana RM2.6 bilion seperti yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa kempen itu menggunakan wang rakyat yang disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan kepada salah satu badan bukan kerajaan (NGO) yang berkempen untuk meraih undi.

"Bukti bahawa NGO itu telah berkempen untuk BN mendapat liputan meluas dan turut dipaparkan dalam laman-laman web pemimpin BN.

"Saya lampirkan surat Kementerian Kewangan bertarikh 23 April 2013 kepada pemimpin utama NGO itu yang mengesahkan bahawa Perbendaharaan telah menyalurkan geran sebanyak RM2 juta.

"Malah pemimpin tersebut sendiri telah mengesahkan (melalui minit mesyuarat) menerima geran ini dari Kerajaan Persekutuan yang kemudiannya dibelanjakan bagi membiayai perbelanjaan kempen BN melalui satu program yang dikendalikan NGO terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Najib dilaporkan berkata bahawa derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya digunakan untuk kempen pilihan raya.

Sehubungan itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menggesa Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno memberi penjelasan berhubung perkara itu.

"Kenapa beliau tidak ambil RM2 juta dari derma RM2.6 bilion yang didakwa untuk membiayai kempen PRU BN hingga salurkan RM2 juta dana awam dengan cara ini yang semestinya telah melanggar undang-undang?

"Ini menimbulkan keraguan bahawa kempen BN dalam PRU13 benar-benar dibiayai oleh sumbangan RM2.6 bilion seperti didakwa Najib," katanya.


Tiada ulasan: