Selasa, 16 Februari 2016

Ambil kira 'qaul al-sahabi' dalam isu jagaan anak

Dr Muhammad Nur Manuty

 


ULASAN Dalam menyelesaikan konflik pertukaran agama, perceraian dan masalah penjagaan anak yang berlanjutan, dua perkara utama hendaklah diberikan perhatian.

Pertamanya, jaminan prinsip keadilan berlaku untuk kedua-dua pihak keluarga. Keduanya, kepentingan anak-anak itu sendiri perlu diberi keutamaan.

Kes ini adalah amat rumit. Ia tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.

Dalam isu ini, dicadangkan supaya sebuah mahkamah khas membicarakan isu pertukaran agama, perceraian dan penjagaan anak-anak perlu segera ditubuhkan.

Akta yang bersesuaian mengenainya hendaklah dirangka dan diluluskan segera oleh parlimen.

Justeru, ura-ura menteri di jabatan perdana menteri untuk meminda akta berkaitan yang akan dibentangkan di parlimen dalam masa terdekat dialu-alukan.

Kita berharap agar dua prinsip utama yang kita sebutkan di atas diberikan perhatian serius.
Penyelesaian lebih fleksibel

Sementara itu itu, PKR mencadangkan supaya enakmen undang-undang jenayah Islam negeri-negeri jika mahu dipinda pada masa hadapan, selain berpandukan empat mazhab fekah, hendaklah juga merujuk kepada pelbagai pandangan lain, terutama qaul al-sahabi (pendapat sahabat).

Dengan cara ini, penyelesaian lebih fleksibel, komprehensif dan mudah diterima oleh pelbagai pihak yang terlibat dapat dirumuskan.

Di saat berlakunya krisis seperti ini, secara fitrahya, demi kasih sayang kepada anak-anak, sudah pasti setiap pasangan akan memberikan keutamaan kepada kebajikan dan keperluan psikologi mereka.

Justeru, sudah tentulah mereka menyedari bahawa anak-anak mereka, perlu didewasakan dalam suasana rasa dipunyai, selamat dan dilindungi.

Kajian-kajian psikologi mengesahkan bahawa anak-anak yang ibu-bapa mereka terlibat dalam perceraian (secara tidak harmoni), lazimnya mengalami trauma tekanan mental yang serius.

Anak-anak ini lazimnya akan mengalami emosi yang tidak stabil, rendah harga diri (self esteem) dan hilang keyakinan diri.

Paling parah, ia boleh membentuk perasaan tidak puas hati, hilang rasa hormat dan wujud pula rasa memberontak kepada ibu bapa dan persekitaran sosial.

Mekanisme ADR

Sehubungan dengan fakta-fakta di atas, penyelesaian terunggul kepada konflik keluarga ini adalah melalui mekanisme alternative dispute resolution (ADR).

Melalui kaedah ini, kedua-dua pihak sebaiknya bersetuju untuk merujuk kes mereka kepada pihak ketiga yang bertindak sebagai orang tengah.

Pihak ketiga ini, hendaklah terdiri daripada pakar undang-undang sivil dan syariah, kaunseling, psikologi keluarga dan kanak-kanak.

Dengan kaedah ini, kesemua pihak akan merasa lebih dihormati dan dihargai.

Perkara yang boleh mengaibkan mana-mana pihak hendaklah dirahsiakan kepada umum.

Dengan ini, anak-anak akan merasa lebih selamat, dilindungi dan berupaya menghadapi masa depan secara lebih yakin dalam membina kehidupan baru yang lebih mencabar.

Sesungguhnya, menjaga kepentingan anak-anak dan menyalurkan rasa kasih sayang terbaik kepada mereka adalah penyelesaian terunggul yang perlu dipertimbang semua pihak, demi kesejahteraan rakyat dan negara pada masa depan.

DR MUHAMMAD NUR MANUTY pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.

Tiada ulasan: