Sabtu, 20 Februari 2016

Al-Quran bukan hanya boleh dibaca dalam satu bahasa

Al-Quran bukan hanya boleh dibaca dalam satu bahasa
Peserta kempen mengalunkan ayat al-Quran menggunakan bahasa-bahasa yang lebih mudah difahami.


KUALA LUMPUR - ‎Kitab suci al-Quran bukan hanya boleh dibaca dalam Bahasa Arab sahaja, malah ia juga boleh dihayati dengan bahasa yang lebih mudah difahami.

Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy berkata, dengan cara itu, lebih mudah bagi semua pihak untuk mengaplikasikan mesej-mesej kitab tersebut dalam kehidupan mereka.

"Kempen ini bertujuan menggalakan orang ramai membaca al-Quran dalam bahasa yang difahami.Ia bukan terhad kepada ‎orang Islam sahaja, malah ia juga terbuka kepada sesiapa sahaja.

"Pada tahun ini kami ingin meluaskan lagi kempen ini. Kami telah menyenaraikan pelbagai aktiviti untuk menarik minat orang ramai untuk membaca al-Quran.

"Walaupun ia berpusat di negara ini, kami rancang untuk luaskan kempen ini sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya dalam Majlis Pelancaran KempenLet's Read The Quran, di sini, hari ini.

Majlis bermula dengan pembentangan pembacaan 12 ayat al-Quran oleh enam individu berlainan banga.

Antara bahasa yang digunakan dalam bacaan Quran hari ini termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, Arab dan Kadazan.

Kata Anas, antara aktiviti yang akan dijalankan ketika kempen termasuk perkongsian artikel menerusi blog, memuatnaik maksud ayat al-Quran di Facebook, perkongsian indeks al-Quran bersama keluarga dan rakan-rakan, perbincangan dan sebagainya.

"Menerusi media sosial, orang ramai digalakkan berkongsi pendapat mengenai al-Quran dan bagaimana cara untuk mengaplikasikan mesej-mesej al-Quran dalam hidup mereka.

"Hashtag #LRTQ2016 akan digunakan di Facebook, Twitter dan Instagram ketika kempen berjalan," katanya lagi.

Kempen ini akan bermula pada 1 Mac hingga 31 Mac depan dan bertujuan menggalakkan orang ramai untuk membaca al-Quran di dalam bahasa yang difahami.

Kempen dirasmikan hari ini oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara penyumbang kempen ini termasuk  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Asyraf Wajdi Dusuki, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacob, dan Pengarah Zubedy, Azree Mohamed Anis.

Turut hadir pada pelancaran majlis hari ini termasuk ‎bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.


Tiada ulasan: