Sabtu, 20 Februari 2016

Adik maut dalam perjalanan ke majlis akad nikah abang

MALAYSIAKINI




Seorang pemuda yang mahu menghadiri majlis pernikahan abangnya maut selepas kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 126.6, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kemasik di Kemaman petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang yang menyebabkan Che Wan Fadhlul Wafi Che Wan Razali, 20, terbunuh di lokasi kejadian.

Abang mangsa, Che Wan Zulfahmi, 26, berkata adiknya bersama abang sulong mereka yang menaiki kereta jenis Proton Satria dalam perjalanan untuk ke majlis akad nikah seorang lagi abang mereka di Kampung Kemasik.

Bagaimanapun sebaik tiba dilokasi kejadian, kereta yang dipandu Che Wan Mohd Farhan, 30, dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki pasangan suami isteri yang datang dari arah bertentangan.

Che Wan Zulfahmi berkata sebelum bertolak ke majlis itu kira-kira pukul 3 petang, beliau turut mempelawa adiknya untuk menaiki keretanya, namun adiknya menumpang abang mereka yang memandu berseorangan.

"Saya yang mengekori di belakang kemudian melihat satu kemalangan dan setelah saya mengamati nombor pendaftaran kereta berkenaan, saya terkejut kerana itu adalah kereta abang saya. Saya bergegas keluar dari kereta saya dan mendapati adik saya telah berbungkus dengan plastik hitam.

"Saya terus menghubungi ahli keluarga yang lain bagi memaklumkan kejadian itu," katanya.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, majlis akad nikah berkenaan dibatalkan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya mayat mangsa yang berasal dari Kampung Titian Berayun dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman.

3 maut nahas di Jasin

Sementara itu, tiga maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan termasuk satu treler di Kilometer 176.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Jasin petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Sampornak Ismail berkata kejadian berlaku kira-kira 4.45 petang apabila treler dari arah Johor Baru ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan.

Beliau berkata treler tanpa muatan itu kemudian memasuki jalan bertentangan dan bertembung dengan tiga kenderaan lain iaitu Toyota Camry, Perodua Myvi dan satu lori kontena.

Mereka yang maut di tempat kejadian ialah pemandu treler, Muhammad Saiful Om, 31, dari Beranang, Selangor dan dua orang yang berada dalam kereta Toyota Camry iaitu Mohd Nizan Abdul Rahim, 48, dari Kota Tinggi, Johor dan Halid Haron, 48, dari Kangkar Pulai, Johor.

"Seorang lagi penumpang Toyota Camry cedera parah manakala tujuh lagi cedera iaitu empat yang berada dalam Myvi dan tiga yang menaiki lori kontena," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, menurutnya nama mereka yang cedera masih belum diketahui dan mereka sedang dirawat di Hospital Jasin.- Bernama


Tiada ulasan: