Ahad, 21 Februari 2016

Ada yang terancam dengan kebolehan Aziz Bari - Penganalisis

Oleh Zeanaaima Md Yusof

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ada pemimpin dalam PKR yang berasa terancam dengan kebolehan dan kewibawaan Dr Aziz Bari seraya bertindak menyekat pengaruh pakar undang-undang itu dalam parti, kata penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed.
 
Jelas Marthada, jika Aziz tidak dihalang, bekas pensyarah kanan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu mampu membina empayarnya sendiri dalam PKR dan perkara itu tentunya tidak disenangi pemimpin tertentu.
 
"Apa yang berlaku pada Dr Aziz Bari sesuatu yang kita yang dijangka kerana sebagai seorang personaliti yang dilihat berwibawa dan punya ketrampilan mungkin beliau boleh pergi jauh jika diberi peluang.
 
"Namun mungkin dilihat dilihat sebagai satu ancaman sebab itu beliau tidak mendapat sokongan yang besar apatah lagi ketika beliau berada dalam PKR. Sokongan tak begitu kuat yang sebabkan beliau tak dihargai dalam parti," ketika dihubungi Antarapos.
 
Marthada berkata demikian mengulas kenyataan Aziz yang ditemubual secara eksklusif oleh Antarapos baru-baru ini bahawa peranannya untuk menyumbang kepada masyarakat dinafikan PKR.
 
Aziz pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bertanding mewakili PKR di Parlimen Sabak Bernam tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) selepas dikatakan disabotaj dalaman PKR.
 
Selepas kekalahan itu, peluang politik kepada Aziz dalam PKR seolah terbatas apabila beliau langsung tidak diberikan sebarang jawatan termasuk apa yang dijanjikan terhadapnya, penyelia Parlimen Sabak Bernam.
 
Aziz pada Julai tahun lalu mengumumkan penghijrahannya kepada DAP dan dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pusat DAP Selangor.
 
Beliau kemudiannya dicalonkan untuk menjadi ahli majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tetapi namanya digugurkan saat akhir, selepas dikatakan dicantas PKR.
 
Marthada ketika diminta mengulas perkembangan itu berkata, budaya cantas-mencantas dalam parti politik adalah perkara biasa, termasuk PKR.
 
"Budaya cantas-mencantas satu budaya wujud dalam mana-mana parti. Bukan hanya dalam Umno saja, kalau kita lihat dalam PAS juga ada budaya itu sehingga menyebabkan pemimpin profesional disisih dan keluar dan bentuk Parti Amanag Negara (PAN). 
 
"Sama juga dengan MIC berlaku pertembungan dan juga MCA. Ini juga senario yang sama berlaku dalam pembangkang, bukan sesuatu yang hairankan dan ia turut berlaku dalam PKR," ujarnya.
 
Justeru Marthada berkata, PKR mahupun rakan komponennya dalam Pakatan Harapan tidak boleh mendabik dada dan berkata mereka lebih baik serta telus berbanding parti lain.
 
Beliau kemudiannya merujuk insiden bagaimana PKR menggulingkan bekas Menteri Besar Selangor terdahulu, Tan Sri Khalid Ibrahim melalui Langkah Kajang.
 
Langkah Kajang ujar Marthada bukan hanya tidak disenangi rakyat yang memberikan mandat kepada pembangkang untuk mentadbir negeri itu, tetapi turut mengundang bantahan daripada rakan politik mereka, PAS.
 
"PKR tak boleh dabik dada bahawa mereka lebih baik atau lebih bersih daripada mana-mana parti termasuk parti dalam kerajaan kerana budaya ada amalan negetif serta amalan tidak sihat memang wujud dalam PKR," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: