Rabu, 17 Februari 2016

4 remaja hilang ketika dalam perjalanan bercuti ke T'ganu

MALAYSIAKINI




Empat remaja lelaki dilaporkan hilang sejak Rabu lepas, ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Seri Alam di Johor Bahru ke Terengganu untuk bercuti.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kesemua mereka yang berusia 21 tahun, dikenali sebagai Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.

"Siasatan mendapati kesemua mereka bertolak dari Seri Alam di Johor Bahru pada Rabu kira-kira 9.30 malam dengan menaiki sebuah kereta Honda Accord untuk bercuti di Terengganu.

"Mereka dipercayai melalui jalan Johor Baharu-Kota Tinggi-Mersing-Rompin untuk ke lokasi percutian yang masih belum diketahui lokasinya secara tepat.

"Namun, selepas dua jam bertolak, mereka gagal dihubungi melalui talian telefon bimbit masing-masing," katanya dalam kenyataan semalam.

Berikutan kejadian itu, Wan Ahmad berkata kesemua keluarga mangsa terbabit membuat laporan di Balai Polis Seri Alam, semalam.

Sehingga semalam, katanya, kesemuanya masih belum dapat dikesan dan di peringkat ini, tiada sebarang maklumat yang boleh menjurus berkemungkinan ada kaitan dengan unsur jenayah.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa agar tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 dan Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222.- Bernama


Tiada ulasan: