Dr Mahathir Mohamed. - Foto Bernama
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak mengakui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
tidak bersetuju dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Menurut Najib perkara itu dinyatakan kepadanya dalam pertemuan antara
dua pemimpin itu yang diadakan di rumah Dr Mahathir sendiri.
"Saya sendiri pergi ke rumah beliau untuk bertemu dengannya," katanya.
Dalam pertemuan itu, Najib turut mendedahkan, terdapat beberapa perkara yang dilakukannya tidak dipersetujui oleh Dr Mahathir.
"Ada satu, dua perkara beliau tak setuju saya buat. Antaranya BR1M.
Beliau juga meminta saya buat jambatan bengkok di Tambak Johor," katanya
yang menganggap perbincangan itu satu perbincangan sihat antara dua
pemimpin.
Bagaimanapun, tegas Najib, sebagai Perdana Menteri, Presiden Umno dan
parti (BN), beliau perlu bertanggungjawab kepada rakyat serta parti,"
katanya ketika mengulas kritikan pedas Dr Mahathir, baru-baru ini dalam
satu wawancara khas yang disiarkan TV3, malam ini.
Tambah Najib, pemberian BR1M kepada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan bukan satu 'handout'.
Sebaliknya, Najib menjelaskan, ia adalah satu bentuk jaringan keselamatan sosial untuk golongan itu.
Beliau berkata pemberian BR1M yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Dasar
Fiskal itu dapat memberi timbal balas kepada golongan berpendapatan
rendah berikutan pengurangan dan pemansuhan subsidi.
Menurutnya banyak negara juga mempunyai sistem jaringan keselamatan
sosial dalam pelbagai kaedah bagi membela nasib rakyat mereka.
Najib berkata, beliau tetap menghormati bekas Perdana Menteri itu sama seperti menghormati rakyat Malaysia yang lain.
"Saya terbuka kepada mana-mana pihak termasuk rakyat yang hendak
mengkritik pentadbiran saya. Cuma saya berharap, kritikan yang
dikemukakan mestilah berhemah dan bertanggungjawab.
"Setiap kritikan yang diterima, saya teliti, namun, sebagai Perdana
Menteri dan presiden parti, saya perlu bertanggungjawab kepada rakyat
dan parti," tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan