Ahad, 5 April 2015

Siapakah wanita misteri itu?


Siapakah wanita misteri itu?



MIMPI selalunya dikaitkan dengan gangguan semasa tidur, namun bayangkan bila setiap kali terlena, anda didatangi bayangan wanita misteri yang sering mengganggu kehidupan seharian?

Itulah yang sering dihadapi oleh Haris, Daniel, Reen dan Jojo, sehinggakan gangguan wanita hamil yang misteri itu membuatkan mereka tertekan dalam hidup.

Ini adalah antara inti pati kisah psiko seram arahan M Hitler Zami menerusi filem, Gamatisme, yang juga terbitan ketiga Pencil Pictures & Records Sdn Bhd.

Bakal menemui penonton mulai 28 Mei 2015, kerja-kerja pengarahan M Hitler Zami, tidak perlu dipertikaikan lagi, tambahan pula ilmu dan pengalamannya dalam bidang ini hampir mencecah dua dekad.

Dibarisi pelakon-pelakon hebat seperti, Nabila Huda, Syazwan Zulkifli, Ellyas Abdullah, AdeleneTsen dan Bubu 1News, filem ini telah menjalani penggambaran sekitar Mei tahun lalu di Bukit Jelutong, Kuang, Sungai Buloh dan Puncak Alam.

Menurut M Hitler Zami, pemilihan lokasi penggambaran Gamatisme ini, untuk memberikan lebih perasaan seram secara visualnya kepada penonton, selain kesesuaian dengan jalan cerita filem ini.

"Penggambaran filem ini dijalankan di sekitar kawasan berkenaan selama 18 hari. Sepanjang penggambaran berlangsung, saya tidak berdepan dengan apa-apa masalah yang berbangkit baik dengan barisan pelakon mahupun kru produksi.

"Mereka memberikan kerjasama yang baik dan memudahkan kerja-kerja pengarahan saya. Untuk pemilihan pelakon, penerbit terlebih dahulu memilih Nabila Huda dan selebihnya adalah pilihan saya sendiri.

"Sejujurnya, mereka memberikan komitmen yang baik walaupun mereka terdiri daripada orang-orang baharu dalam dunia seni perfileman tempatan," katanya lagi.

Bertanya mengenai idea untuk menghasilkan Gamatisme, Hitler memberitahu bahawa idea asal naskhah ini adalah daripada pelakon, Fadzil Zahari.

"Saya menerima idea ini hasil tulisan daripada Fadzil. Namun setelah meneliti, beberapa perkara saya tukar mengikut kesesuaian termasuk kehidupan di kolej dan binaan empat watak.

"Begitu juga dengan tajuk. Fadzil memberikan tajuk awal iaitu, 'Suara' dan saya cuba mencari kelainan dari segi tajuk itu sehingga tercetusnya Gamatisme yang menjurus kepada maksud dunia kacau," jelasnya lagi.

Filem ini mengisahkan mengenai empat sahabat karib, Haris (Syazwan Zulkifli), Daniel (Wan Elias), Reen (Adeline Tsen) dan juga Jojo (Bubu 1News) yang sering mendapat gangguan misteri di hostel mereka semenjak kehadiran pelajar baru bernama Zara (Nabila Huda).

Misteri turut menyelubungi Zara apabila dia kerap dihantui mimpi-mimpi aneh dan sering di ganggu wanita mengandung bersama bayinya menyebabkan Zara berada dalam kemurungan.

Haris yang menyimpan perasaan terhadap Zara cuba mendekatinya dan cuba menyelami perasaan Zara. Mereka berempat  beranggapan bahawa kemunculan wanita misteri di dalam mimpi Zara itu berkaitan dengan gangguan -gangguan yang di alami mereka.

Sehinggalah suatu malam, Jojo mati dalam keadaan yang begitu ngeri di dalam bilik air pelajar lelaki. Mayat Jojo masih di dalam siasatan pihak polis dan hampir semua pelajar meninggalkan kolej tersebut demi keselamatan mereka. Pada malam berikutnya, berlaku kejadian yang mengerikan apabila Reen menjadi mangsa yang seterusnya.

Kekangan masa

Walaupun bidang ini bukanlah sesuatu yang asing bagi Hitler, namun pengarah filem Janin dan Bravo 5 ini, turut berdepan dengan kekangan masa untuk menyiapkannya.

Menurut Hitler, sebelum ini, dia pernah menyiapkan sesebuah filem dalam masa 35 hingga 45 hari, namun untuk filem ini, dia hanya diberikan 18 hari sahaja.

"Filem ini adalah filem keempat saya dan filem yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal saya untuk disiapkan dalam masa yang agak singkat.

"Jadi, saya memerlukan satu kumpulan yang terdiri daripada pekerja mahir yang cekap dan mampu bekerja dalam tempoh yang singkat, namun hasilnya harus yang terbaik. Alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan walaupun ianya agak mencabar," katanya lagi.

Tambah Hitler, filem ini juga memperlihatkan babak aksi mencemaskan yang dilakukan pelakon aksi lasak berpengalaman, selain kesan solekan khas dan imej janaan komputer (CGI) yang memberikan kepuasan kepada penonton.

"Filem ini turut menyelitkan teknik CGI untuk memantapkan lagi jalan cerita yang menarik. Boleh dikatakan, hampir 25 hingga 35 peratus babak yang dihasilkan adalah dari hasil suntingan CGI.

"Ia adalah salah satu cara untuk memberi kepuasan kepada penonton yang meminati babak aksi dan genre seperti ini. Ini adalah filem psiko seram saya yang pertama.

"Sebelum ini, kredibiliti saya diduga menerusi genre-genre lain yang pastinya memberikan perbezaan pengalaman dalam dunia pengarahan," kata anak kepada arwah pelakon terkenal, Allahyarham Zami Ismail ini.

Menyedari kemerosotan kutipan di pawagam sejak akhir-akhir ini, ia bukanlah satu bayangan ngeri untuk Hitler dalam menghasilkan filem-filem yang bermutu.

Katanya, sebagai pembikin filem, sukar untuk menilai selera penonton kini, namun usaha itu perlu dipertingkatkan untuk menghasilkan karya yang mampu menarik penonton ke pawagam.

"Kita tidak boleh menyifatkan industri perfileman sekarang di ambang kemerosotan atau kekurangan jumlah tontonan kerana pasaran filem ini ada tenggelam timbulnya.

"Namun, saya lebih beranggapan, sekiranya karya itu bagus dan bermutu, ia tetap menjadi pilihan penonton kerana mereka percaya pada jalan cerita berkenaan.

"Untuk filem ini, saya tidak berani untuk meletakkan berapa nilai sasaran kutipan, namun cukuplah sekiranya 25 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia yang datang menonton," katanya lagi.

Ada mesej tersirat

Menelan kos keseluruhan sebanyak RM1.3 juta, bagi penerbit filem, Datuk Normashayu Puteh, dengan kerjasama kru produksi dan pelakon-pelakon handalan tempatan, Gamatisme adalah percubaan berani daripada Pencil Pictures & Records Sdn Bhd.

Katanya, sebagai syarikat penerbitan yang optimis dalam penghasilan filem-filem bermutu, filem ini sememangnya memaparkan kelainan dan membawa idea baru dan segar bagi memeriahkan industri perfileman tempatan.

"Kami percaya, jalan cerita filem ini mampu menarik semua golongan masyarakat untuk datang memberikan sokongan sekali gus meraih kutipan yang memberangsangkan.

"Pencil Pictures & Records Sdn Bhd sering menerbitkan karya yang mempunyai mesej yang berat kepada semua lapisan masyarakat. Gamatisme bukanlah semata-mata filem bergenre psiko, malah ia diadun dengan elemen-elemen seram.

"Yang penting, penceritaan dalam filem ini bukanlah sekadar hiburan, malah ianya juga turut diselitkan dengan mesej-mesej tersirat," ujarnya lagi.

Selain Gamatisme, syarikat produksi ini juga bakal memberi saingan kepada produksi tempatan lain dengan mempertaruhkan filem terbaharu mereka tidak lama lagi iaitu, Bopeng dan Kak Yong. Dijadualkan, filem bergenre komedi dan aksi arahan Helmi Yusuf itu akan ditayangkan pada tahun ini juga.

Tiada ulasan: