Penyeludup terbesar burung murai ditahan Abdul Kadir (tengah) menunjukkan burung bayan puling yang dirampas sekali gus menahan seorang lelaki.
 
 
 
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dipercayai antara penyeludup terbesar spesies burung murai batu di negara ini, ditahan di Bentong, Pahang, Khamis lalu oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, hasil risikan kira-kira dua minggu berjaya menjejak lelaki warga tempatan itu yang dipercayai dalam perjalanan ke negara jiran.

Suspek berusia lingkungan 40-an, pernah ditahan atas kesalahan serupa pada 2013.

Menurut Abdul Kadir, dengan penahanan itu, Perhilitan berjaya melumpuhkan salah satu sindiket penyeludupan terbesar di negara ini.

Beliau berkata, kenderaan suspek diekori kenderaan Perhilitan kira-kira 30 kilometer dari Raub, sebelum dipintas di Bentong pada jam 11 pagi.

“Pemeriksaan ke atas van jenis Toyota Hiace yang dipandu lelaki itu berjaya menemui 105 burung jenis murai batu dan dua burung bayan puling di dalam raga plastik selain seguni plastik mengandungi seekor kijang yang dilapah.

“Kesemua haiwan itu dianggarkan bernilai RM100,000," katanya di ibu pejabat Perhilitan di sini, semalam.

Abdul Kadir berkata, siasatan awal mendapati, seekor burung dijual RM500 hingga RM1,000 bergantung jenis dan kualiti burung itu selain permintaan tinggi di negara jiran.

Suspek dipercayai memperoleh bekalan daripada penduduk kampung pada harga lingkungan RM100 seekor.