Pas guna GST untuk raih undi Mohd Fadzli (kanan) mengangkat tangan Nazri Ahmad selepas nama Ketua Pemuda Pas Pahang itu diumumkan sebagai calon PRK Rompin.
 
 
 
MUADZAM SHAH – Pas mengumumkan slogan ‘Satu undi untuk Pas, satu undi tolak GST’ sebagai kempen meraih sokongan pengundi pada PRK Parlimen Rompin, 5 Mei nanti.

Slogan diumumkan Timbalan Pengarah I PRK Parlimen Rompin Dun Tioman, Mohd Fadzli Mohd Ramly yang turut menggesa supaya rakyat menolak cukai yang disifatkannya sebagai cukai zalim dan menindas itu.

Menurutnya, jika pengundi di Rompin masih memilih BN pada hari pengundian, maka jelaslah mereka juga memilih untuk mengekalkan dan menyokong pelaksanaan GST.

“Kita percaya undi kepada Pas pada PRK Rompin ini adalah isyarat kepada kerajaan atau BN bahawa rakyat bukan sahaja di daerah ini tetapi di seluruh negara menolak cukai tersebut yang tidak mengenal miskin atau kaya.

“Slogan ‘Satu undi untuk Pas, satu undi tolak GST’ akan digunakan sebagai salah satu medium kempen dalam meraih sokongan pengundi yang rata-ratanya tiada seorang pun terkecuali daripada dikenakan cukai tersebut,” katanya ditemui selepas pengumuman calon Pas PRK Rompin, malam kelmarin.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa Pas mampu memenangi kerusi Parlimen Rompin walaupun berdepan dengan calon yang disifatkan orang lama dan berpengalaman seperti diumumkan BN, Datuk Hasan Arifin.

“Isu GST ini merupakan isu besar melibatkan rakyat seluruh negara dan rakyat secara umumnya juga ternanti-nanti keputusan PRK ini yang bakal menjadi isyarat atau simbol penolakan rakyat kepada parti pemerintah yang telah meluluskan cukai tersebut.

“Bukan sahaja GST tetapi isu saham FGVH, kejatuhan harga sawit, nasib generasi kedua Felda dan isu pemilikan tanah juga akan menjadi peluru bagi meruntuhkan daerah yang kononnya disifatkan sebagai kubu kuat BN ini,” katanya.