Izreen Azminda Izreen Azminda
 
 
 
JIKA ada yang perasan, sejak akhir-akhir ini, pelakon cantik, Izreen Azminda, kerap kali berkongsi fotonya di  Instagram (IG) dengan penampilan bertudung dan lebih sopan.

Meneliti maklum balas pengikutnya, rata-rata menyokong dan memberi kata-kata positif terhadap penampilan baharunya itu.

Jelas pelakon drama bersiri Sehangat Asmara ini, dia kini dalam proses untuk membiasakan diri dengan imej bertudung.

“Alhamdulillah, sebenarnya niat untuk bertudung itu sudah lama saya fikirkan. Kebetulan pula, kini saya sedang menggalas watak, Damia Farisha menerusi drama bersiri terbitan Zeel Production, Eksperimen Cinta, yang memerlukan saya bertudung.

“Buat masa ini, saya selesa penampilan ini, malah bukan di set saja, keluar rumah pun saya cuba biasakan diri pakai pakaian menutup aurat.

“Namun, masih ada babak lakonan yang memerlukan saya membuka tudung lagi dan Insya-ALLAH, penghujung bulan ini, saya akan bertudung sepenuhnya.

"Doakan saya,” kata ibu kepada Andrian Umar ini.

Jelasnya, keputusan untuk berhijrah ini dibuat atas pertimbangan diri sendiri tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.

Ditanya adakah dia bersedia berdepan  kekurangan tawaran lakonan selepas ini, Izreen menganggap ianya bergantung kepada rezeki.

“Kalau saya tetap memikirkan mengenai tawaran lakonan, sampai bila-bila saya tidak dapat ubah penampilan ke arah lebih baik.

“Namun, saya nekad dan percaya, semuanya bergantung pada rezeki ALLAH SWT. Kalau ada rezeki saya, adalah. Kalau tak ada, saya reda.

“Selepas ini, saya juga tidak akan bergantung pada lakonan semata-mata. Mungkin saya akan usahakan cara lain untuk meneruskan kehidupan,” katanya yang juga kini menggalas tanggungjawab hos Mahligai Cinta.