Khamis, 16 April 2015

Mengapa ahli BN secara membuta tuli sokong pemimpin tidak cekap




Oleh Ahmad Mustapha Hassan


Negara ini tidak pernah memiliki pentadbiran yang lebih tidak cekap berbanding kerajaan kini di bawah Najib Razak. Ini adalah kerajaan paling lemah dan berhadapan pelbagai skandal. Tetapi amat mengejutkan apabila beliau mendapat sokongan besar daripada mereka di dalam Umno Baru dan rakannya yang tidak relevan di dalam kerajaan.

Media sosial secara konsisten melaporkan dakwaan salah laku kerajaan. Fakta yang paling mengejutkan adalah perbelanjaan tidak terkawal untuk hal-hal yang tidak penting.

Sebuah jet mewah telah dibeli, walaupun yang ada masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan. Kemudian tentang perjalanan yang menelan belanja jutaan ringgit, apabila jet menjelajah banyak negara tanpa sebab yang munasabah.

1MDB telah menunjukkan kerugian berjumlah RM42 bilion, dan tiada seorang pun yang menyokong Najib memperkatakannya. Mereka hanya membiarkan kesalahan berlaku. Seolah-olah tiada seorang pun dalam kerajaan dan Umno Baru yang peduli.

Tentulah tidak salah untuk menyokong pemimpin, namun apabila pemimpin itu telah melakukan kesalahan yang nyata dan menyebabkan negara kehilangan wang berbilion ringgit, mereka perlu menunjukkan bahawa hal itu tidak boleh dibiar begitu sahaja. Mereka perlu memberitahu Najib untuk memperbetulkan tindakannya dan lebih bertanggungjawab.

Jepun adalah sebuah negara yang mana rakyatnya amat mengambil berat soal pemimpin mereka. Kebanyakan pemimpin di sana tidak bertahan lebih daripada beberapa bulan. Rakyatnya tidak dapat bertoleransi dengan apa-apa yang tidak munasabah yang dilakukan pemimpin mereka.

Namun di negara ini, sokong diberi kepada pemimpin secara buta-tuli walaupun beliau menunjukkan ketidakcekapan dalam menjalankan tugas.

Amat menghairankan apabila membaca semakin ramai parti rakan Umno Baru yang menyatakan sokongan kepada Najib. Parti-parti ini hanya menggali kubur sendiri, dan mereka memang pun sudah hampir mati.

Pertama, Ketua Bahagian Umno Baru mengadakan pertemuan untuk menunjukkan sokongan kepadanya. Sejumlah 160 “warlord” memberikan dukungan penuh kepada ketua mereka yang tiada keupayaan dan semberono. Ia langsung tidak bermakna apa-apa.

Feudalisme dalam Umno Baru telah merebak ke dalam struktur parti rakan-rakan mereka. Sebahagian kenyataan daripada pemimpinnya memang menggelikan hati.

“…kepimpinan Perdana Menteri telah membawa banyak transformasi yang positif kepada negara kita…” kata Presidem Gerakan Mah Siew Keong.

Kenyataan ini pula datang daripada Barisan Progresif India (FPI): “Beliau (Najib) telah membawa banyak perubahan kepada masyarakat India, dalam soal pendidikan, kerajaan telah melihat keperluan-keperluan masyarakat India…”

MCA juga menunjukkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Najib dan enggan melayan apa-apa kritikan terhadapnya.

Ini adalah pengikut-pengikut buta yang melayan Najib selaku ketua feudal. Mereka tidak dapat melihat sebarang kelemahan dalam kepimpinannya.

Umno Baru tentunya seorang guru yang cekap, atau barangkali pemimpin parti-parti ini adalah pelajar cemerlang Umbo Baru.

Rakyat harus menunjukkan kepada semua pemimpin tidak cekap ini, bahawa mereka tiada tempat dalam pentadbiran negara ini. Kita bukan sahaja ketinggalan di belakang negara lain di rantau ini, kita juga nampaknya akan menjadi “negara gagal” pertama di Asia.


Tiada ulasan: