KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta Ketua
Eksekutifnya Arul Kanda Kandasamy telah mengadakan pertemuan dengan Tun
Dr Mahathir Mohamad bagi menerangkan mengenai syarikat tersebut.
Najib berkata beliau tidak pernah menjelaskan secara langsung mengenai
1MDB kepada Dr Mahathir kerana urusan tersebut tidak dibangkitkan secara
terus oleh bekas Perdana Menteri itu kepadanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika ditemu bual
oleh pengacara Hamdan Ahmir dalam program Edisi Khas Soal Jawab TV3
malam ini.
Dr Mahathir baru-baru ini meminta Najib menjawab beberapa persoalan
berkaitan 1MDB setelah mengkritik beliau mengenai kerugian serta hutang
yang ditanggung oleh syarikat tersebut.
Dr Mahathir juga meminta Najib menjelaskan mengenai hubung kait
syarikat tersebut dengan ahli perniagaan Low Taek Jho, serta sumber
kewangan anak tiri beliau Riza Aziz, yang membeli hartanah mewah di New
York.
Dalam wawancara tersebut, Najib berkata beliau telah meminta Ketua
Audit Negara mengesahkan sama ada dana 1MDB disalahgunakan untuk membuat
filem dan sebagainya.
Ditanya mengapa soal pembikinan filem itu dibangkitkan oleh Dr
Mahathir, Najib berkata: "Sebab ada dakwaan sedemikian. Saya tidak mahu
mempertahankan apa-apa sebab ia melibatkan ahli keluarga saya, dan oleh
sebab itu saya hendak Ketua Audit Negara mengesahkan perkara ini."
Ditanya sama ada beliau memohon kepada pihak pengurusan 1MDB supaya
lebih telus dalam urus niaga akan datang, Najib berkata beliau telah pun
berbuat demikian. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan