Liow Tiong Lai Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menjawab pertanyaan media berkenaan perkembangan terkini nahas helikopter yang mengorbankan Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis bersama lima yang lain di Semenyih kira-kira 4.55 petang Sabtu lalu ketika menghadiri majlis Penyerahan Sijil Petunjuk Geografi Halia Bentong dan Seminar Kesedaran Harta Intelek di Bentong hari ini. - Foto Bernama
 
 
 
BENTONG - Laporan siasatan berhubung punca nahas helikopter Dauphin 9M-IGB yang mengorbankan Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan lima yang lain di Semenyih Sabtu lepas dijangka diketahui dalam tempoh sebulan. 
 
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, siasatan di tempat kejadian untuk mengumpul bukti termasuk serpihan helikopter dan rakaman percakapan saksi kini sedang giat dilakukan.  
 
"Kotak hitam yang ditemui pagi semalam akan dihantar ke Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di United Kingdom hari ini untuk dianalisis bagi mendapatkan laporan awal punca nahas. 
 
"Tempoh untuk mengeluarkan data akan ambil masa tiga hingga empat hari, analisis data seminggu, jadi kita jangka proses untuk siasat sepenuhnya punca kemalangan akan ambil masa sebulan," katanya. 
 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Sijil Petunjuk Geografi Halia Bentong dan Seminar Kesedaran Harta Intelek kepada pengusaha Halia Bentong di sini hari ini. 
 
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek; dan Pengerusi MyIPO Datuk Abdul Manan Ismail. 
 
Sehubungan itu Tiong Lai menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang punca kejadian kerana boleh menyinggung perasaan ahli keluarga mangsa nahas.
 
Mengulas mengenai identiti pembantu operasi Aidana Baizieca yang menimbulkan tanda tanya, Tiong Lai sekali lagi menegaskan mangsa wanita itu adalah kakitangan syarikat penerbangan berkenaan dan bukan pembantu juruterbang. 
 
Beliau enggan mengulas lanjut mengenai laporan hasil bedah siasat dan menyatakan ia akan diumumkan bersama laporan keseluruhan punca kejadian. 
 
Nahas pukul 4.55 petang di Kampung Pasir Baru, Sungai Pening, Semenyih itu mengorbankan Jamaluddin dan lima penumpang lain termasuk Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Seri Azlin Alias.  
 
Mereka dalam penerbangan pulang ke ibu negara selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang.  - Bernama