KKR1M serap GST, harga kain kekal Mohd Noor menerangkan kepada pelanggannya, Hasminda Aminudin mengenai GST yang terdapat pada resit pembeliannya.
 
 
 
KEDAI Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M), rangkaian kedai jualan tekstil bersedia menyerap RM100,000 daripada keuntungan bulanan perniagaan bagi membantu pelanggannya dapat membeli harga yang sama selepas pelaksanaan GST dikuatkuasakan pada 1 April lalu.

Pengarah Urusannya, Mohd Noor Mohd Amin berkata, pembeli akan tetap menikmati tawaran harga sama berikutan kos pembayaran cukai GST sebanyak enam peratus akan ditanggung syarikat tersebut.

Menurutnya, KKR1M melalui Syarikat Peluang Karisma Sdn Bhd akan menanggung kos GST kerana prihatin dengan pelanggan terutamanya golongan sederhana dan rendah serta pelanggan mereka di luar bandar.

“Walaupun dalam resit pembelian mereka mencatatkan nilai GST yang dikenakan, sebenarnya mereka hanya membayar harga kain sahaja,” katanya pada media di KKR1M di Hulu Langat, semalam.

Mohd Noor yakin pelaksanaan GST akan memacu peningkatan perniagaannya pada tahun ini.

“Kita membeli kain secara tunai daripada pengilang kain luar negara dan pengilang tempatan.

"Menerusi perbincangan dengan pembekal KKR1M, mereka bersetuju untuk mengurangkan harga kos tidak melebihi lima peratus kerana mereka memahami faktor yang mempengaruhi jualan dan pasaran,” katanya.

Mohd Noor Amin berkata, selepas dua hari GST dilaksanakan di negara ini, jualan KKR1M masih berjalan seperti biasa dan menerima kunjungan pelanggan.

“Setiap pelanggan kami akan diterangkan mengenai bayaran GST yang terdapat dalam resit pembelian mereka," katanya.

Beliau berkata, KKR1M mahu syarikat lain memberikan kerjasama pelaksanaan GST kerana ia memberikan kebaikan kepada negara.

Ditanya mengenai sasarannya pada 2015, Mohd Noor berkata, KKR1M akan dibuka di Sarawak pada Mei depan dan KKR1M kini mempunyai 30 cawangan.

"Syarikat masih dalam perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengenai perkara tersebut.

“KKR1M mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat kerana barangannya berkualiti dan dijual dengan harga rendah dan berpatutan,” katanya.