Jumaat, 17 April 2015

KitaLawan: Jom berbasikal keliling K.Lumpur 18 April

Oleh: NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM,: Gerakan Kita Lawan akan turun ke jalanan (18 April) Sabtu ini, dengan berbasikal di sekitar Kuala Lumpur.

Sekretariatnya, Akmal Nasir berkata taktik berbasikal itu ditukar ekoran sebelum ini gerakannya ditangkap kerana berkumpul.

Kita-Lawan

“Sebelum ini, kami berkumpul kemudian ditangkap di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Oleh itu, kami menukar taktik dengan berbasikal pula,” katanya pada forum Black14: dari Reformasi ke #KitaLawan di bangunan Malaysiakini di Petaling Jaya, malam tadi.

Beliau berkata gimik itu menjadi kaedah demonstrasi terbaru #KitaLawan dan yakin ia tidak melanggar undang-undang Akta Perhimpunan Aman.

“Kita belum pernah protes secara berbasikal. Tak menjadi kesalahan, kerana dari segi undang-undang tidak ada akta melarang orang awam berbasikal,” kata Pengarah Strategi AMK PKR itu.

Akmal berkata protes berbasikal itu bermula dari Dataran Merdeka di Jalan Raja Laut ke KLCC dan tempat lain dan butiran lanjut diumumkan kelak.

Pada 2008, polis menahan beberapa aktivis mengambil bahagian dalam kempen Rangkaian Rakyat Tertindas (JERIT) berbasikal ke seluruh Semenanjung menegakkan hak pekerja.

Kumpulan aktivis berbasikal beramai-ramai di jalan sibuk di bandaraya menuntut hak berkongsi ruang di jalan raya.

“Jadi protes berbasikal itu bukan sesuatu baru di Kuala Lumpur atau Malaysia,” katanya.

Panelis lain dalam forum malam tadi ialah aktivis Abdul Malek Husin, Peguam Michelle Yesudas dari Lawyer For Liberty (LFL) dan Editor The Malaysian Insider (TMI), Amin Iskandar.EZY



Tiada ulasan: