Ahad, 5 April 2015

Isu air: Kenyataan 'flip flop'Azmin beri kesan buruk kepada Selangor

 Oleh Nurshakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Kenyataan 'flip flop' Menteri Besar, Azmin Ali berhubung isu  penstrukturan semula industri air di Selangor hanya akan memberi kesan buruk kepada negeri ini, kata Datuk Seri Dr Khir Toyo.
 
Bekas menteri besar Selangor itu berkata ini kerana isu tersebut sudah berlanjutan lebih dua penggal namum ia masih belum dapat diselesaikan.
 
Bahkan, menurut Khir perkara tersebut menjadi lebih rumit apabila Azmin gemar bermain politik dalam menyelesaikan isu kepentingan rakyat itu.
 
"Dia (Azmin) banyak berfikir secara politik dan itu masalah yang kita hadapi sekarang. Soal air ini soal rakyat, mana-mana kerajaan pun kena selesaikan perkara itu dengan segera.
 
"Janganlah dia (Azmin) cuba hendak tangguh-tangguhkan (penstrukturan air Selangor) macam sekejap batal, sekejap tidak. Saya fikir kenyataan flip flop ini tidak baik untuk kerajaan negeri Selangor.
 
"Sepatutnya masalah air ini lama dah selesai, ialah ianya sudah ditangguh lebih dua penggalkan dan saya rasa Azmin kena tumpukan perbincangan masalah ini secepat yang boleh," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan mantan menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid agar Azmin Ali meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya gagal menyelesaikan masalah rakyat terutama penstrukturan semula air di negeri itu. 
 
Khalid dilaporkan sebagai berkata, Azmin perlu berundur supaya Kerajaan Selangor diketuai oleh individu yang lebih layak, pakar dan berpengalaman yang setaraf dengan status Selangor sebagai negeri termaju. 
 
Mengulas lanjut Khir Toyo berkata sudah tiba masanya untuk Azmin menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pentadbiran kerajaan negeri daripada terus menerus berpolitik.
 
"Kita kena bagi peluang kepada dia sebab baru lagi (sebagai Menteri Besar), tapi dah lebih 100 hari (pemerintahan Azmin) ini tak nampak apa-apa perbezaan. Jadi, saya harap dia dapat tumpukan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri daripada berpolitik," tegasnya.
 
Malah, Khir berkata Azmin perlu segera menyelesaikan perjanjian air ini bagi mengelak pelabur lari meninggalkan negeri termaju di Malaysia ini.
 
"Tak boleh (bagi alasan lagi), sebab perkara ini (penstrukturan air) sudah bermula dari zaman saya dan diteruskan oleh Khalid Ibrahim tapi sampai sekarang tak selesai-selesai lagi. Jadi, sekarang isu air ini sangat kritikal. Memang rakyat tak nampak, tapi kalau tengok dari segi industri semua ramai dah tak melabur di Selangor kalau nak buka kilang air tak cukup.
 
"Kita beritahu Azmin supaya cepat selesaikan masalah dan jangan 'ding dong ding dong'," tambahnya.
 
Kerajaan Selangor diberi tempoh sehingga 30 April ini untuk memberi jawapan tentang pelanjutan tarikh akhir bagi Perjanjian Induk mengenai penstrukturan semula industri bekalan air Selangor.
 
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, jika gagal berbuat demikian, Kerajaan Persekutuan akan menganggap bahawa Kerajaan Selangor tidak berminat menerima tawaran mengenai langkah penyusunan semula itu dan pengambilalihan penuh pemegang konsesi di Selangor seperti yang terkandung dalam Perjanjian Induk.
 
Menurut beliau, selepas tarikh akhir itu, Kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah perlu mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2008 (WSIA) dan undang-undang berkaitan lain bagi memastikan kepentingan negara dan kebajikan rakyat dapat dilindungi.
 
 

Tiada ulasan: