Rabu, 1 April 2015

Ekstradisi Sirul: DAP gesa kerajaan segera kemuka permohonan kepada Australia

ramkarpal_singh

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail perlu segera membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Australia untuk mengekstradisi bekas komando polis Sirul Azhar Umar.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, permohonan tersebut perlu dilakukan demi kepentingan awam, walaupun prosidingnya didakwa rumit oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Di bawah ‘Perjanjian Ekstradisi’ ditandatangani pada 15 November 2005 antara kedua-dua pihak (Malaysia dan Australia), adalah wajib bagi kerajaan berunding dengan kerajaan Australia dengan tujuan mencapai persetujuan bagi mengemukakan permintaan rasmi mengekstradisi Sirul kerana beliau tertakluk kepada hukuman mati.

“Dalam erti kata lain, persoalan tentang prosiding ekstradisi tidak harus timbul tanpa perjanjian dan perundingan terlebih dulu,” kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor dalam satu kenyataan.

Ujarnya, beliau terkejut apabila membaca laporan portal Malaysiakini bahawa kerajaan sehingga kini masih belum membuat apa-apa permohonan untuk mengekstradisi Sirul.

Dalam jawapan kepada soalan Ramkarpal minggu lalu, Zahid mendakwa kerajaan sedang memulakan rundingan dengan kerajaan Australia, namun proses tersebut memakan masa kerana melibatkan isu perundangan yang rumit dan perlu dikendalikan dengan berhati-hati.

Zahid turut menyebut, selain menyentuh dasar dan undang-undang negara lain, usaha kerajaan untuk membawa pulang Sirul turut menyentuh isu hak asasi manusia di mana tidak semua negara menyokong pelaksanaan hukuman mati.

Tegas Ramkarpal, perkara tersebut tidak harus berlaku kerana Sirul sudah hampir tiga bulan disabitkan bersalah dan dihukum bersama Inspektor Azilah Hadri pada 13 Januari lalu.
“Pembunuhan Altantuya Shaariibuu menarik perhatian seluruh dunia.

“Amat tidak adil kepada keluarga mangsa jika usaha serius tidak diambil segera bagi membawa Sirul pulang bagi menghadapi hukuman yang telah ditentukan Mahkamah Persekutuan,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: