Rabu, 8 April 2015

Bumbung SK Senawang tercabut angin kencang

MALAYSIAKINI


 


Sebuah bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Senawang dekat sini, mengalami kerosakan teruk selepas bumbung bangunan empat tingkat itu tercabut dipukul angin kencang ketika hujan lebat, malam tadi.

Kejadian kira-kira 7 malam itu, mengakibatkan empat bilik darjah yang terletak di aras empat bangunan itu terpaksa dikosongkan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Pkharuddin Ghazali berkata tiada kecederaan dilaporkan berikutan kejadian tersebut berlaku selepas waktu persekolahan.

"Bangunan tersebut menempatkan lapan kelas murid Tahun Enam dan untuk sementara, pelajar ditempatkan di surau dan bilik khas.

"Pihak sekolah juga memberi cuti khas bergilir kepada 1,231 pelajarnya iaitu pelajar Tahun Satu akan diberi cuti esok dan murid Tahun Dua pada Jumaat,"  katanya selepas melakukan lawatan ke SK Senawang hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu penilaian kerosakan oleh Jabatan Kerja Raya sebelum memohon peruntukan daripada Kementerian Pendidikan untuk kerja pembaikan.

"Kerja pembaikan akan dibuat seberapa segera yang mungkin dan pihak sekolah juga telah melantik kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa bumbung yang diterbangkan angin kencang semalam," katanya.

Sementara itu, di Taman Jasmin, Senawang, sebanyak lima buah kereta yang diletakkan di bahu jalan, remuk dihempap pokok tumbang dalam kejadian angin kencang malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fazli Jamaludin berkata empat pokok tumbang menghempap lima kereta tersebut dengan terdapat dua mangsa dalam satu daripada kenderaan itu.

Beliau berkata mangsa yang tidak mengalami kecederaan, berjaya dikeluarkan setelah pihaknya memotong dahan pokok yang menghempap kenderaan tersebut.

"Tujuh anggota bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk memotong dan membersihkan pokok-pokok yang tumbang," katanya.- Bernama


 

Tiada ulasan: