rafizi ramli Rafizi Ramli
 
 
 
SHAH ALAM - Perbicaraan kes tuduhan mendedahkan maklumat sulit perbankan berkaitan isu National Feedlot Corporation (NFC) membabitkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ditetapkan pada 27 April ini.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Nozina Ayob hari ini selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menetapkan tarikh perbicaraan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Rafizi semalam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Haziq Dniyaddin Rozali manakala Setiausaha Agung PKR itu diwakili peguam, Michelle Yesudas.

Pada Ogos 2012, Rafizi, 38, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendedahkan empat dokumen profil pelanggan Public Bank mengenai ringkasan imbangan NFC, National Meat and Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.

Beliau didakwa mendedahkan dokumen itu kepada perunding media, Yusuf Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho di ibu pejabat PKR di Merchant Square, Petaling Jaya pada 7 Mac 2012.

Semalam, Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Tan Sri Md Raus Sharif menolak rayuan Rafizi atas alasan mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan beliau kerana kes itu berasal dari Mahkamah Sesyen.