Isnin, 6 April 2015

#BantahGST mahu 'penuhi KL' pada 1 Mei

MALAYSIAKINI



 
 
 
Gabungan NGO anti-GST, #BantahGST akan mengadakan program jelajah ke tujuh negeri bagi menggerakkan perhimpunan besar-besaran pada Hari Buruh di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataannya, ia bertujuan untuk mengumpulkan kumpulan masyarakat untuk turut serta “memenuhi bandar Kuala Lumpur” bagi mendesak pelaksanaan cukai tersebut dibatalkan.

“Fokus dan tuntutan perhimpunan ini hanya satu, menuntut agar perlaksanaan GST dibatalkan serta merta,” kenyataannya dipetik.

Gabungan tersebut, termasuk parti pembangkang dan NGO, memutuskan tindakan itu dalam satu mesyuarat pada 29 Mac lalu.

Menurut gabungan tersebut, bantahan tersebut adalah “simbol penolakan total rakyat Malaysia terhadap cukai yang menindas dan tidak menyebelahi rakyat terbanyak” ini.

“Keadaan ini diburukkan lagi dengan penjelasan dangkal serta analisis karut pemimpin negara bagi merasionalkan polisi songsang ini.

"Tambah menjengkelkan apabila perlaksanaan cukai ini dibuat semasa negara dihambat dengang skandal 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB), skandal kewangan terbersar dalam sejarah negara,” kenyataan itu dipetik.

Tujuh lokasi yang disasarkan untuk program jelajan itu ialah Alor Setar, Bagan Serai, Seremban, Kemaman, Batu Pahat, Tumpat dan Shah Alam.

Gabungan NGO yang menentang GST sebelum ini bergerak di bawah panji Kita Lawan yang menerima tekanan keras pihak berkuasa.

Seramai 12 orang aktivis dan pemimpin politik ditahan berhubung perhimpunan dan bantahan ke atas GST sejak 7 Mac lalu.

 
 
 

Tiada ulasan: