Ahad, 5 April 2015

Anwar hadir pengebumian bapanya hari ini

MALAYSIAKINI


 


Bapa kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggal dunia awal pagi ini, demikian menurut Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau dibenarkan keluar daripada penjara Sungai Buloh untuk menghadiri pengebumian itu.

Malaysiakini membawakan laporan terkini mengenainya.



12.24pm: Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tiba bersama suaminya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail. Tidak lama selepas itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pula sampai.

12.10pm:  Sesudah doa dibacakan, Anwar yang memakai baju melayu putih, dilihat memeluk anak-anaknya.

Anwar kelihatan sedikit kurus namun tenang. Manakala Wan Azizah yang turut berada di situ dilihat mengalirkan air mata.

11:50am: Seramai 60 tetamu berada dalam rumah bapa Anwar sedang membacakan doa. Jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Sungai Ramal selepas Zohor.

11.40pagi: Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon tiba di kediaman bapa Anwar bagi memberikan penghormatan terakhir.

"Saya mengenai beliau (Ibrahim) sejak saya menuntut di universiti kerana beliau (ketika itu) adalah anggota parlimen.

"Saya mengenali beliau sebelum saya mengenali Anwar. Sudah 40 tahun," katanya.

Ibrahim pernah menjadi ahli parlimen Seberang Perai Tengah antara tahun 1959 dan 1969.

11.13am: Turut hadir memberi penghormatan Ketua Pegawai eksekutif AirAsia Tony Fenandes.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi sebarang komen. Sementara itu, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib tiba untuk mengunjungi dan memberi penghormatan kepada Allahyarham.

Beliau pernah menjadi orang kuat dalam Umno dan juga rapat dengan Anwar.

Beberapa pemimpin PKR turut hadir antaranya Datuk Johari Abdul, N Surendran dan Latheefa Koya.

10.49am: Dr Mahathir telah beredar tetapi isterinya Tun Hasmah Ali masih berada di situ.

Hasmah menyifatkan bapa Anwar seorang yang baik.

"Kami mengenali Pak Ibrahim sejak sekian lama, sebelum Azizah (berkahwin dengan Anwar)," katanya kepada Malaysiakini.

10:46am: Wajah sedih kelihatan pada Anwar Ibrahim yang tiba di kediaman ayahnya di Kajang.

Beliau diapit oleh lebih sepuluh pengawal penjara, antaranya bersenjatakan semi-automatik.

Anwar memasuki rumah itu dan ada beberapa individu yang berkabung berjabat tangan dengannya malah ada yang memeluknya.

Dua pengawal penjara yang bersenjata berdiri di luar rumah manakala yang lain mengiringi Anwar masuk.

Terdahulu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba untuk memberi penghormatan terakhir.

9.02am: Dr Wan Azizah ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan bahawa Anwar dibenarkan untuk menghadiri pengebumian bapanya di Kajang hari ini.

"Menteri Dalam Negeri memberi keizinan, tetapi kami tidak pasti pukul berapa beliau dibenarkan keluar (dari penjara)," katanya.

"Para peguam sedang mengurus perinciannya," katanya lagi.

Dr Wan Azizah memendekkan urusan beliau di Pulau Pinang dan sedang dalam perjalanan ke Kajang ketika ini bagi membuat persediaan majlis pengebumian itu.

ADUN Kajang itu berkata beliau dimaklumkan bahawa bapa mertuanya Ibrahim Abdul Rahman kira-kira jam 2 pagi, selepas disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.45 pagi di Hospital Kajang.

Jenazah Ibrahim akan dibawa ke rumah di Country Heights, Kajang hari ini untuk disemadikan di tanah perkuburan Islam di Sungai Ramal selepas Zohor.

Menurut maklumat terbaru daripada pihak yang dekat dengan Anwar, beliau akan tiba sebelum tengahari.

Anwar dihukum penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk memihak kepada rayuan kerajaan terhadap keputusan pembebasan beliau dalam kes liwat II.

Keluarga beliau memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan sedang menunggu keputusan akhir mengenai petisyen itu.

Bagaimanapun, kerusi Permatang Pauh diisytihar kosong pada Rabu selepas Mahkamah Tinggi dimaklumkan bahawa permohonan pengampunan diraja ditolak sekalipun peguam Anwar mempertikaikannya.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Binasa la mereka yg suka menfitnah.. .