Selasa, 21 April 2015

Aktivis buat laporan polis terhadap KPN susulan protes hadapan gereja

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Aktivis Badaruddin Ismail menunjukkan laporan polis yang dibuatnya terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan abangnya Datuk Abdullah Abu Bakar susulan protes di hadapan gereja, di Taman Medan pada Ahad lepas. – Gambar The Malaysian Insider, 21 April, 2015. Aktivis Badaruddin Ismail menunjukkan laporan polis yang dibuatnya terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan abangnya Datuk Abdullah Abu Bakar susulan protes di hadapan gereja, di Taman Medan pada Ahad lepas. – Gambar The Malaysian Insider



 Aktivis Badaruddin Ismail, hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dan abangnya Datuk Abdullah Abu Bakar susulan protes di hadapan gereja, di Taman Medan baru-baru ini.

Badaruddin berkata, laporan polis itu dilakukannya susulan kenyataan Khalid, protes pada Ahad bukan suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.

Aktivis veteran itu berkata, berdasarkan kandungan laporan akhbar The Star bertarikh 21 April 2015, di halaman 3, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan protes yang dilakukan abang kepada


Khalid, iaitu Abdullah adalah satu kesalahan, tetapi Khalid mengatakan tiada unsur hasutan atas tindakan dilakukan abangnya.

 "Dengan kata lain, Khalid tidak kompeten untuk menjalankan tugas sebagai ketua polis negara, juga menyalah guna kuasa apabila gagal menangkap abangnya di bawah Akta Hasutan," kata Badaruddin, kepada The Malaysian Insider (TMI), selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur haru ini.

Khalid sebelum ini menolak wujud elemen hasutan atau jenayah dalam protes yang diadakan pada Ahad ketika penganut Kristian sedang menjalankan upacara keagamaan mingguan mereka.

Menurutnya, isu itu tidak melibatkan agama Kristian tetapi hanya pertikaian mengenai kesesuaian lokasi gereja di kawasan majoriti Melayu Islam.

"Kami tidak melihatnya sebagai menghasut kerana ia tidak menyentuh mengenai agama Kristian tetapi hanya tentang lokasi gereja," kata Khalid.

Zahid bagaimanapun berpendapat, protes itu mengandungi unsur Hasutan, malah pendirian beliau turut disokong mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Musa berkata, kenyataan Zahid itu menjelaskan lagi kelakuan hasutan mereka yang terlibat sebagaimana yang termaktub dalam pindaan baru Akta Hasutan 1948.

“Akta Hasutan kini, dalam pindaan yang baharu, ada menyentuh soal agama. Jadi, itu adalah isu hasutan.

“Oleh kerana menteri sendiri mengatakan itu satu hasutan, berkemungkinanlah ada dalam Akta Hasutan pindaan baharu,” katanya kepada TMI.

Badaruddin yang pernah mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melihat kenyataan Khalid itu adalah seakan "pendakwaan terpilih" kerana apabila abangnya sendiri melakukan kesalahan itu dia tidak disiasat seperti mana pemimpin politik pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) disiasat polis.

"Saya menuntut daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Abdullah di bawah Akta Hasutan dan Khalid kerana kesalahan menyalah guna kuasa," katanya, dan menambah, PDRM hendaklah memaklumkan kepadanya perkembangan laporan polis yang dilakukannya.

Abdullah sebelum ini berkata, beliau diminta penduduk mengetuai perhimpunan itu yang akhirnya memaksa pihak gereja menanggalkan tanda salib di bangunannya.

"Kebetulan pula, saya abang kepada Tan Sri Khalid (Abu Bakar). Dia adik saya," beliau memberitahu TMI.

"Oleh sebab itu, bila ada isu seperti ini, orang datang meminta bantuan saya."

Abdullah berkata penduduk setempat mengenali beliau dalam kapasiti sebagai salah seorang pemimpin Umno cawangan Taman Medan.

"Sudah tentu mereka mengenali saya. Saya ketua Umno bahagian sebelum ini."

Abdullah berkata beliau merupakan ahli Umno sejak 1980an, tetapi menafikan menentang penganut Kristian.

"Kami bukan menentang penganut Kristian. Saya boleh tunjukkan kuil di Taman Medan di mana penduduk tidak ada isu mengenainya.

"Penduduk berasa cemas melihat salib. Mereka tidak selesa dan sensitif," katanya.

"Sesetengah mereka mengadu, pemandangan pertama mereka bila buka tingkap ialah salib.”

Tiada ulasan: