Sabtu, 18 April 2015

Aduan GST mula kurang


GST baru
 
 
 
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Aduan mengenai GST pada kad tambah nilai antara paling banyak diterima Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (Fomca) sejak GST dilaksana 1 April lalu.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, bagaimanapun aduan tersebut semakin berkurang apabila kerajaan mula campur tangan dan menetapkan kad prabayar akan dikenakan GST bersama penambahan nilai kredit panggilan.

Selain itu, kata Mohd Yusof, aduan mengenai resit pembelian yang tertera GST ditulis tangan juga antara banyak diperoleh Fomca.

“Pengguna keliru sama ada peniaga memang tanggung GST atau sebaliknya kerana resit diberikan diragui.

“Ada juga aduan menyatakan resit diberikan dikenakan GST, tetapi tidak tertera nombor siri GST," katanya.

Selain itu katanya, Fomca juga menerima aduan berhubung kekeliruan apabila ada peniaga mendakwa menyerap GST pada barang yang dijual, namun resit pembelian memaparkan jumlah sebenar perlu dibayar pengguna mengandungi cukai tersebut.

“Jadi pengguna tertanya, kenapa ada GST sedangkan dikatakan peniaga serap cukai tersebut. Jadi pengguna bayar juga GST tersebut," katanya.

Namun katanya apa yang dapat dilihat adalah kekeliruan peniaga dan pengguna mula berkurangan selepas lebih dua minggu GST dilaksanakan.

“Awal dahulu ada peniaga tidak faham, beranggapan apabila GST dilaksanakan semua peniaga akan menaikkan harga barang, tidak kira ia berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau tidak. Padahal sepatutnya peniaga perlu daftar terlebih dahulu baru boleh mengenakan GST.

“Pengguna pula biasanya keliru mengenai harga barang. Tetapi kini aduan itu semakin berkurang,” katanya.

Tiada ulasan: