pdrm
 
 
 
PENDANG - Polis menahan 13 pelajar bagi membantu siasatan berhubung laporan kes pukul seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Pendang pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad berkata, enam pelajar Tingkatan Empat dan tujuh pelajar Tingkatan Lima itu ditahan polis pada 11.15 pagi ini di sekolah terbabit.

Katanya, dua lagi pelajar Tingkatan Lima yang dipercayai terbabit dalam kes itu telah digantung daripada asrama sekolah semalam dan telah pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani.
  
"Tindakan untuk menahan mereka (bagi membantu siasatan) akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
  
Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz Zainol Abidin ketika dihubungi berkata, laporan penuh kejadian itu telah dihantar oleh pihak sekolah kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri.
  
Dalam kejadian pada Sabtu lalu, Muhammad Ammar Aqil Zainudin, 13, dari Taman Ria Mesra, Gurun mendakwa dia dipukul kira-kira 30 pelajar senior di sekolah tersebut dari 12 tengah malam hingga 1.30 pagi di bilik asrama pelajar senior. - Bernama