Khamis, 5 Februari 2015

Wanita DAP lapor polis, gesa siasatan penuh ke atas Ismail Sabri

group-report1-040215

 Roketkini.com


SUBANG: Berikutan kenyataan perkauman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Ismail Sabri tempoh hari, Wanita DAP Selangor hari ini membuat laporan polis agar menteri itu disiasat.

Laporan dibuat di IPD Subang Jaya kira-kira jam 3 petang tadi diwakili Pengerusi Wanita DAP Selangor yang juga ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh, ADUN Teratai Tiew Way Keng dan ADUN Sungai Pelek Lai Nyuk Lan.

“Kami memandang serius kenyataan tersebut yang diakui beliau, ia menimbulkan ketegangan antara kaum di Malaysia,”

“DAP wanita Selangor menggesa siasatan lengkap dibuat terhadap menteri tersebut,” kandungan laporan polis tersebut dipetik.

Ketiga-tiga wakil Wanita DAP Selangor itu juga turut diiringi beberapa orang wakil Ibu Pejabat DAP Kuala Lumpur dan ahli wanita DAP Selangor.

ngeh-koo-ham2Sementara itu, kira-kira jam 11 pagi tadi, laporan turut dibuat Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai di IPD Dang Wangi.

Manakala semalam, Ahli Parlimen Bruas Datuk Ngeh Koo Ham turut membuat laporan polis berhubung dakwaan Ismail bahawa keluarganya adalah pemilik perniagaan francais Old Town White Coffee dan menindas pengunjung dengan harga tinggi.

Ismail Sabri dikecam hebat pelbagai pihak apabila membuat kenyataan berbaur perkauman menyeru orang Melayu memboikot peniaga Cina, di samping mengatakan orang Cina menindas orang Melayu di dalam status Facebook menteri itu.

Ismail turut mengelak bertanggungjawab apabila mengatakan kononnya ‘Ngeh’ yang dimaksudkan bukan ahli Parlimen Bruas itu, tetapi ‘Ngeh’ yang lain, kerana menurut menteri itu bukan seorang sahaja Ngeh di Perak. – Roketkini.com

Tiada ulasan: