Sabtu, 7 Februari 2015

Teresa cabar kerajaan Sabah kemuka bukti ‘ancaman’nya kepada rakyat

Teresa kok 2

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ekoran dihalang memasuki Sabah dan dituduh sebagai ancaman kepada keamanan, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mencabar kerajaan negeri itu membuktikan tuduhan tersebut.

Teresa turut mengibaratkan tindakan menghalangnya memasuki Sabah dengan bidalan Cina ‘jika berniat hendak mengenakan orang, tuduhan yang diada-adakan senang sahaja hendak dibuat’.

“Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Masidi Manjun memang kena dengan pepatah Cina itu.

“Dia kata kononnya saya tidak dialu-alukan. Kerana menurutnya, polis cawangan khas ada bukti saya buat kacau dan mengancam keharmonian,” kata Teresa.

Masidi dilapor mengatakan parti pembangkang menggunakan taktik politik kotor, propaganda dan pembohongan untuk mengelirukan rakyat demi mendapatkan sokongan.

Menteri itu juga mengatakan DAP masuk ke pedalaman untuk ‘menyebarkan kebencian’.

Teresa yang Naib Pengerusi DAP berkata, tuduhan kerajaan Sabah itu bermotif politik dan tidak boleh diterima.

“Betul, saya kritik dasar kerajaan BN dan hilangkan populariti kerajaan BN. Saya juga mengaku misi politik saya adalah untuk mlakukan perubahan politik di Sabah dan Sarawak.

“(Namun), saya nafikan sekeras-kerasnya segala pertuduhan yang dibuat ke atas saya,” kata Teresa.

Beliau turut mencabar kerajaan Sabah dan Sarawak bersaing dalam pilihanraya, dan bukannya mengharamkan pimpinan pembangkang masuk ke negeri itu.

“Saya dipilih rakyat. Saya ke Sabah untuk lakukan aktiviti politik secara terbuka, polis pasti ada rekod semua ucapan dan kerja-kerja saya di Sabah.

“Saya cabar Masidi dan kerajaan Sabah dedahkan semua rekod polis mengatakan kedatangan saya untuk membuat kacau dan mengancam kemanan.

“Halangan mereka menafikan hak saya untuk ke negeri itu tidak boleh diterima sama sekali,” ujarnya kesal. – Roketkini.com

Tiada ulasan: