Selasa, 3 Februari 2015

Tahun Baru Cina 2015: Teresa Kok terbit satu lagi klip video satira

'1 Goat Year, 1 Great Family'

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Sempena ketibaan Tahun Baru Cina 2015 tidak berapa lama lagi, Pejabat Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim telah menghasilkan satu lagi klip video satira bertajuk ’1 Goat Year, 1 Great Family’.

Menurut Pegawai Khasnya Alice Lan Suet Ling, klip video tersebut yang turut melibatkan beberapa tokoh lain telah dimuat naik di halaman Facebook ’1 Goat Year, 1 Great Family’ hari ini

“Antara tokoh yang turut membintangi klip video adalah Sasterawan Negara A Samad Said, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel dan ramai lagi.

“Tajuk klip video kali ini diambil bersempena Tahun Kambing dalam zodiak Cina yang melambangkan kebaikan, keamanan dan keharmonian.

“Mesej dalam klip video ini adalah untuk menyeru rakyat Malaysia berbilang kaum dan kepercayaan berbeza supaya menjadi satu keluarga besar yang menghargai kebaikan, keamanan dan keharmonian.

“Tema ini juga diambil berikutan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman dan kemunculan ekstremis agama lebih setahun lalu yang mengancam keamanan serta keharmonian seluruh masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Alice lagi, satu Majlis Makan Malam turut akan diadakan pada 12 Februari nanti dan kesemua ‘bintang undangan’ klip video bakal diundang sebagai tetamu khas.

“Orang ramai yang berminat untuk menghadiri Majlis Makan Malam Khas boleh meninggalkan komen atau menghantar mesej peribadi di laman Facebook ’1 Goat Year, 1 Great Family’ dengan menyatakan mengapa mereka perlu dipilih menyertainya.

“Penyertaan akan ditutup pada 3 Februari 2015, sebarang maklumat lanjut boleh layari laman Facebook ’1 Goat Year, 1 Great Family’,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: