Isnin, 9 Februari 2015

Sidang DUN hudud Kelantan bulan depan

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pakatan Rakyat belum memutuskan berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan dan akan membincangkan lanjut isu itu dalam sebuah mesyuarat khas.

Bagaimanapun, selang beberapa jam selepas mesyuarat di Kuala Lumpur, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengumumkan bahawa sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri bagi membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) akan diadakan bulan depan.

Sidang khas itu sepatutnya diadakan pada 29 Disember lalu namun ditangguhkan ekoran banjir besar melanda Kelantan.

"Untuk tujuan itu, kerajaan negeri mengadakan berkali-kali mesyuarat, perbincangan melalui Jawatankuasa Teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan bagi menyiapkan beberapa pindaan dalam enakmen itu...

“Alhamdulillah, kita menyiapkan satu tatacara lengkap pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah," beliau dipetik sebagai berkata di Kota Baharu dalam kenyataan hari ini.

Bernama melaporkan beliau sebagai berkata hudud arahan Allah dan menjadi kewajipan setiap umat Islam menegakkannya dalam masyarakat Islam.

"Kewajipan ini seumpama kewajipan solat lima waktu yang tidak boleh dipertikai pensyariatannya. Solat wajib didirikan walaupun musibah melanda dan tidak boleh melengah-lengahkan solat apatah lagi mengesampingkannya dengan alasan untuk memberi laluan kepada semua mangsa musibah memperolehi hak kebajikan mereka secara sempurna.

"Begitulah juga hukum syariah termasuk kanun jenayah syariah yang bakal dilaksanakan di Kelantan.

“Usaha menegakkannya di muka bumi ini mesti berjalan seiring dengan agenda kebajikan dan kemasyarakatan yang lain," beliau dipetik sebagai berkata.

Gabungan pembangkang belum membuat kata sepakat dalam perkara berkaitan pelaksanaan hudud dan pilihan raya tempatan.

Dalam sidang media Pakatan di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat khas akan datang.
 

Tiada ulasan: