Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya menteri yang
telah berusia berundur dari baris hadapan kepimpinan kerajaan dan
diganti oleh generasi pasca merdeka dalam setiap ruang lingkup kehidupan
rakyat, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Menurutnya, usia purata anggota Kabinet Kerajaan sekarang ini ialah 58.5 tahun di mana separuh daripadanya iaitu Idris Jusoh, Douglas Uggah Embas, Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Razak berusia lebih 60 tahun.
“Sekitar 90 peratus daripada 30 juta rakyat Malaysia lahir selepas Merdeka pada 31 0gos 1957.
“Populasi rakyat dari segi usia terdiri daripada 0 hingga 14 tahun (28.8 peratus), 15-24 tahun (16.9 peratus), 25-54 tahun (41.2 peratus), 55-64 tahun (7.6 peratus) dan 65 tahun ke atas 5.5 peratus.
“Bukankah sudah tiba masanya populasi yang lebih muda mengambil alih kepimpinan di semua peringkat kehidupan di Malaysia, termasuk Kabinet?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan, sekiranya negara mempunyai Kabinet dengan beberapa pengecualian terdiri daripada Menteri yang lahir selepas Merdeka, separuh anggota Kabinet yang disifatkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak bermutu boleh dilupuskan.
“Dengan Kabinet lebih muda, kuranglah kemungkinan bencana seperti yang dilakukan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi dalam suratnya kepada FBI bagi menjamin integriti seorang raja judi serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Yaakob supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina,” ujarnya.
Kit Siang turut memberi contoh Kabinet Merdeka di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957 yang mempunyai purata usia jauh lebih muda daripada pentadbiran Najib iaitu 43.3 tahun.
“Tunku menjadi Perdana Menteri pada usia 54 tahun, HS Lee (Menteri Kewangan) paling tua 57 tahun, manakala Menteri Pelajaran Khir Johari berusia 34 tahun dan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak 35 tahun,” katanya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan