Khamis, 5 Februari 2015

Program Pendigitalan RTM Tetap Diteruskan

RAKYATNEWS


Radio Televisyen Malaysia
 


KUALA LUMPUR  - Situasi ekonomi semasa tidak memberi kesan kepada program pendigitalan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dijangka menjalani   percubaan pada suku ketiga tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, kementerian melihat semua aspek dalam merealisasikan perancangan pendigitalan itu. 

"Perancangan pendigitalan RTM masih mengikut jadual yang ditetapkan kerana kita tidak mahu ketinggalan dengan negara di Asia Tenggara ini.  

"Perancangan juga telah dikaji daripada pelbagai aspek termasuk kos pendigitalan yang mungkin akan bertambah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan  Persidangan Antarabangsa ketiga mengenai Latihan Penyiaran 2015 di sini, hari ini.  

Semasa sesi Dewan Rakyat tahun lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata program pendigitalan RTM dijangka  menjalani percubaan pada suku ketiga 2015.

Ahmad Shabery berkata, kerajaan perlu melaksanakan projek itu sebaik mungkin bagi menjayakan pelaksanaan program pendigitalan dengan mengeluarkan tender dan syarikat terbabit pula mengeluarkan tender-tender kecil untuk memasang seluruh prasarana.  

Sementara itu semasa ucapan pembukaan, Jailani berkata kerajaan akan memarakkan industri kreatif melalui Dana Industri Kandungan Digital dengan peruntukan  daripada Bajet 2015 sebanyak RM100 juta.  

Beliau berkata pengenalan KL Converge, satu platform untuk mengumpul para pendukung dalam industri isi kandungan kreatif untuk berkongsi kepakaran,  merupakan satu daripada inisiatif ke arah Malaysia menjadi hub teknologi.  

Persidangan tahunan ini anjuran bersama Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak dan Institut Penyiaran Asia Pasifik yang dihadiri 52 peserta sebagai  platform berkongsi maklumat dalam bidang penyiaran.

Tiada ulasan: