Gambar hiasan Gambar hiasan
 
 
SHAH ALAM-  Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) dalam satu kenyataan hari ini  mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan kumpulan Militan Negara Islam (IS) yang membunuh dengan kejam sukarelawan Jepun dan seorang juruterbang Jordan.

Presidennya Zamihan Mat Zin al-Ghari berkata,  tindakan itu bukan saja bertentangan dengan Islam, malah boleh menimbulkan keresahan dunia serta merosakkan imej suci Islam itu sendiri.

“Aswaja sememangnya dari awal lagi memandang serius tentang kumpulan militan ini yang jelas menyeru kepada keganasan.

“Sebab itulah pertubuhan kami sentiasa proaktif menganjurkan program penerangan mengenai Jihad, Militan dan bahaya kumpulan pengganas Islamic State dan lain-lain ke seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Zamihan berkata Majlis Fatwa kebangsaan perlu mengekang penularan fahaman IS ini selaras dengan penetapan majlis tersebut yang menetapkan bahawa IS adalah pertubuhan yang menyeleweng.

“Orang ramai khususnya anak muda menyertai IS sebenarnya berada dalam keadaan jahil agama. Mereka  tidak memahami pengertian jihad mengikut Islam secara menyeluruh.

“Maka selaras dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang membuat ketetapan bahawa IS adalah kumpulan yang menyeleweng, sewajarnya fatwa itu dimanfaatkan untuk mengekang kumpulan haram yang bertapak di negara ini.,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa membersihkan negara daripada fahaman serta kumpulan yang menjurus kepada militan serta mempunyai ideologi yang terarah kepada keganasan seperti IS.

Baru-baru ini kumpulan IS  telah menyiarkan video menunjukkan juruterbang Jordan dibakar hidup-hidup sementara Goto (rakyat Jepun) dipenggal kepalanya oleh tentera IS