Selasa, 10 Februari 2015

Penjarakan Anwar: Badan kehakiman sekali lagi disalahguna

istana_kehakiman

-Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Tindakan memenjarakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan bukti nyata bagaimana badan kehakiman sekali lagi disalahguna dan dipersenda oleh kerajaan UMNO-BN, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Beliau berkata, tindakan terkutuk ini juga memberikan tamparan buruk kepada sistem kehakiman dan ia seolah-olah tidak lagi boleh diperbaiki.

“Walaupun kebanyakan rakyat Malaysia mengharapkan keadilan dapat diperoleh dalam badan kehakiman negara. Malangnya, kita telah dikecewakan sekali lagi.

“Anwar telah ditipu oleh sistem korup, yang telah diamalkan selama beberapa dekad di bawah pemerintahan BN.

“Bukan satu rahsia lagi bahawa kerajaan UMNO-BN telah memanipulasi undang-undang untuk membungkam mulut pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Charles yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor menegaskan, keputusan Mahkamah Persekutuan menyumbat Anwar ke dalam penjara selama 5 tahun tersebut turut dengan jelas menunjukkan taktik lama kerajaan menamatkan kerjaya politik Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berjaya.

Katanya, Anwar telah dimalukan dan digambarkan sebagai orang jahat selama lebih sedekad dengan tuduhan liwat yang dirancang begitu teliti untuk mencemarkan imej beliau.

“Beliau dilihat sebagai ancaman yang boleh menjatuhkan kerajaan dengan Pakatan Rakyat (PR) hampir memerintah negara pada tahun 2013 selepas memenangi undi popular.

“Demi mengekalkan kuasa mereka, kerajaan sanggup mengabaikan hak demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan untuk menganiaya Anwar,” tegasnya.

Tambah beliau, walaupun jentera kerajaan bertungkus-lumus menyerang Anwar tapi beliau pasti tidak akan disabitkan kesalahan jika mahkamah itu bebas.

“Hari ni, kita juga dapat ketahui bagaimana gagalnya kita sebagai sebuah negara,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: