Sabtu, 7 Februari 2015

Pasar Taman Ehsan: MB tunggu laporan lengkap sebelum ambil tindakan

Oleh: AFIX REDZUAN


PETALING JAYA: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali masih menunggu laporan lengkap berhubung permintaan peniaga supaya beliau campur tangan dalam rancangan merobohkan Pasar Awam Taman Ehsan.

Mohamed Azmin berkata, pandangan semua pihak termasuk peniaga akan diberikan perhatian sebelum sebarang keputusan dibuat.

ayam mentah pasar stok 02

“Saya sedang menunggu laporan untuk diteliti terlebih dahulu dengan pihak berkenaan dan kita akan mendengar masalah mereka.

“Yang penting, masalah peniaga itu perlu diberikan perhatian. Jika mempunyai keperluan untuk mengalihkan mereka, kita akan bantu peniaga dalam meneruskan perniagaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Selangor Kini semalam melaporkan rancangan merobohkan pasar berkenaan tidak diteruskan sehingga Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperoleh tapak baru untuk peniaga.
azmin 1
Perkembangan isu itu diputuskan mesyuarat melibatkan wakil peniaga, pegawai MPS, ahli majlis dan Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Hasil mesyuarat diputuskan supaya tapak baru disediakan dan untuk tujuan itu MPS akan memohon kepada pihak pegawai daerah.

Sebelum ini, MPS mengeluarkan notis arahan mengosongkan lot kedai di pasar terbabit bagi memberi laluan kerja meroboh yang asalnya dijadualkan, pada 28 Januari lalu.
Bagaimanapun, tindakan itu mendapat bantahan 51 peniaga di pasar itu, masyarakat setempat dan Pejabat Adun.

Mohd Khairuddin selepas itu berjaya mendapatkan persetujuan MPS menangguhkan kerja meroboh sehingga satu keputusan dicapai bersama dalam mesyuarat yang diadakan kelmarin.-NFN-

Tiada ulasan: