Selasa, 3 Februari 2015

PAS: Turunkan harga barang kawalan dulu

MALAYISKINI


 


Kegagalan kerajaan menguatkuasakan undang-undang sedia ada menyebabkan harga barang tidak turun seiring dengan harga baru minyak, kata PAS.

Ketua penerangannya Datuk Mahfuz Omar berkata kerajaan sepatutnya menunjukkan teladan dengan menurunkan harga barang kawalan seperti gula dan minyak masak terlebih dahulu.

Begitu juga dengan tarif elektrik dan tambang pengangkutan awam yang turut berada bawah kawalan kerajaan, katanya lagi.

“Usahlah kerana ingin menutup kelemahan sendiri, orang lain pula yang menjadi mangsa,” kata Mahfuz.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana menggesa orang ramai memulau peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang seperti harga minyak.

Kenyataannya itu mengundang kritikan banyak pihak yang melihatnya sebagai perkauman.

Bermula 1 Februari, harga baru bahan bakar itu turun antara 11 hingga 21 sen ekoran kejatuhan berterusan harga minyak dunia.

Dalam kenyataannya hari ini, Mahfuz juga membangkitkan, sehingga ke hari ini, kerajaan tidak pula menyatakan hasrat menurunkan harga barang bawah kawalannya.

“Adakah ini bermakna Datuk Seri Ismail Sabri ingin menyeru rakyat agar memboikot kerajaan Malaysia pula yang gagal menurunkan harga barang kawalan? ” sindirnya.

PAS bagaimanapun senada dalam pelaksanaan kempen penurunan harga barang ekoran kejatuhan harga petrol dan diesel.

Tiada ulasan: