Khamis, 5 Februari 2015

Pakatan mahu lihat pindaan enakmen hudud Kelantan Ahad ini, kata Anwar

OLEH DIYANA IBRAHIM


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan media pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran buku Dr Syed Husin Ali, di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 5 Februari, 2015.Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan media pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran buku Dr Syed Husin Ali, di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 




























PAS disaran membentangkan cadangan pindaan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) Negeri Kelantan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Rakyat (PR) Ahad ini, sebelum ia dibawa ke Parlimen, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata ia masa terbaik membentangkan enakmen yang akan membolehkan pelaksanaan hukum hudud di negeri itu, supaya pemimpin DAP dan PKR boleh turut memahami dan menilai terlebih dulu cadangan undang-undang Islam itu.

Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, PR juga sudah meminta kerajaan negeri Kelantan menunjukkan kepada mereka terlebih dulu kertas cadangan enakmen sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Kita sudah minta dan sampaikan kepada kerajaan negeri, kalau diberikan sebaiknya dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PR," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran buku Dr Syed Husin Ali, di Shah Alam hari ini.

 Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah yang Kelantan merancang membentangkan rang undang-undang persendirian berkenaan di Parlimen Mac ini.

Amar dilaporkan berkata semalam, pindaan tersebut akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) biasa seperti dijadualkan, selepas sidang DUN Khas yang sebelum ini tertangguh akibat banjir besar.

“Rang undang-undang persendirian dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah ialah dua perkara berbeza. Apa yang kita akan bawa ke Dewan Rakyat ialah rang undang-undang persendirian. Ia bagi membolehkan enakmen tersebut dilaksanakan (di peringkat negeri)," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh sebenar rang undang-undang tersebut akan dibawa ke Dewan Rakyat kerana akan ia diputuskan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Anwar, yang tidak menyatakan secara jelas pendirian PR mengenai hukum hudud itu berkata, pihaknya masih belum melihat enakmen yang dipinda kerajaan negeri itu.

"Kita mahu lihat dahulu rang undang-undang tersebut. Walaupun tumpuan kita sebenarnya pada ketika ini ialah kepada pasca banjir, bantuan dan menyelesaikan perumahan, mesej kita ialah ke arah itu," katanya.

Anwar yang merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, meskipun PR sudah ada pendiriannya sendiri mengenai hudud, ia tidak mempertikaikan hak PAS membentangkan rang undang-undang tersebut.

"Dalam ruang PR, kita ada beritahu tentang persetujuan hudud pada 2010. Tetapi, kita juga tidak pertikaikan hak PAS.

"Kita juga menghormati pendirian DAP, tetapi dalam hal ini, kita belum tahu apa yang dikemukakan dan apa yang ditolak," katanya.

PAS dan DAP bertelagah mengenai isu hudud dan pilihan raya kerajaan tempatan yang hendak dilaksanakan terutama di negeri di bawah pentadbiran masing-masing, Kelantan dan Pulau Pinang. -

Tiada ulasan: