Khamis, 12 Februari 2015

Nuha pengganti Anwar di Permatang Pauh?

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar enggan mengesahkan adiknya, Nurul Nuha Anwar bakal mengisi kekosongan kerusi Permatang Pauh selepas bapa mereka dipenjarakan atas tuduhan liwat semalam.

"Tidak ada cadangan lagi dari pihak kami untuk mencalonkan mana-mana pihak. Kita mahu fokus kepada perjuangan menuntut kebebasan bapa kami," katanya di sidang media pelancaran 'March to Freedom' di kediaman Ketua Umum PKR itu di Jalan Segambut pagi tadi.

Izzah berkata demikian sebagai menjawab sama ada kempen ini bertujuan mengetengahkan Nuha sebagai seorang lagi ahli keluarga Anwar yang akan menyertai politik tanah air.

Terlebih dahulu Nuha mengadakan sidang media berkenaan 'March to Freedom' sebagai satu langkah terbaharu membebaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun bersabit kes liwat II terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Shaiful Bukhari Azlan.

Ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan keadilan dan bagaimana 'memperbetulkan' kepincangan undang-undang negara yang sering berlaku kepada Anwar dan pemimpin pembangkang yang lain.

Keputusan penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan terhadap Anwar semalam sekali gus membatalkan kelayakan beliau sebagai wakil rakyat Permatang Pauh.

Di sidang media yang sama juga, Nuha sekali lagi membangkitkan jaminan keselamatan pihak berkuasa dan penjara terhadap bapanya.

"Dahulu Anwar pernah diracuni arsenik dan kami terpaksa hantar sampel air kencingnya ke Australia walaupun dinafikan pihak penjara Sungai Buloh ketika itu. Namun makmal Australia sahkan sampel itu ada racun," kata Nuha lagi.

Hal yang sama ditegaskan oleh Izzah.

"Bukan soal kami tidak percaya dengan keselamatan Anwar. Dahulu pun kami pernah minta jaminan Timbalan Ketua Polis ketika itu tapi apa yang terjadi adalah Anwar dipukul dalam keadaan bergari dan ditutup mata. Kami hanya mahu jaminan. Dan kami bercakap dalam isu bukan di luar fakta," katanya kepada media.

Izzah turut mendakwa ada dalang di sebalik keputusan mahkamah semalam yang cuba mematikan perjuangan politik Anwar dan pemimpin PR yang lain.

"Ketika kes Anwar tahun 1999, kesnya pernah disiasat oleh Majlis Peguam Antarabangsa dan pernah mengeluarkan satu jurnal berhubung ketidakadilan penghakiman negara terhadap Irene Fernandez dan Lim Guan Eng.

"Di mana ia (keputusan penghakiman) dipengaruhi oleh pihak eksekutif, yakni kerajaan," tegas Naib Presiden PKR itu.

Tiada ulasan: