Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
 
 
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo bersetuju, mana-mana nelayan negara ini yang memasuki perairan Indonesia bakal berdepan tindakan undang-undang.
 
Persetujuan itu turut terpakai bagi nelayan Indonesia yang menceroboh kawasan perairan Malaysia.
 
Namun, menurut Najib, jika mana-mana nelayan yang memasuki kawasan pertindihan antara Malaysia-Indonesia, mereka hanya akan diusir keluar.
 
"Seperkara lagi yang kita telah bincangkan ialah berhubung dengan masalah nelayan yang menceroboh antara kedua-dua perairan.
 
"Kami bersetuju, apa yang telah disepakati selama ini bahawa jika nelayan memasuki kawasan pertindihan antara Malaysia-Indonesia, mereka akan diusir keluar, mereka tidak akan dikenakan tindakan undang-undang," katanya pada sidang media bersama Joko Widodo di Pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.
 
Perkara itu dicapai selepas mesyuarat dua hala yang berlangsung pagi ini antara Malaysia dengan Indonesia sempena lawatan Joko Widodo ke Malaysia.
 
Menurutnya, tindakan boleh dikenakan pada mana-mana nelayan yang menceroboh kawasan sahih bukan negaranya.
 
"Sebaliknya, jika mereka masuk dalam kawasan perairan Indonesia, secara yang sahih kawasan itu perairan Indonesia dan diceroboh nelayan Malaysia, maka tindakan undang-undang boleh diambil oleh pemerintah Indonesia.
 
"Begitu juga jika nelayan Indonesia memasuki kawasan perairan Malaysia," katanya.
 
Sebelum ini, pada 27 Januari 2012, Malaysia dan Indonesia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang memberi kata putus apabila ada nelayan yang ditangkap kerana memasuki perairan Indonesia, mereka akan diiringi keluar untuk masuk semula ke perairan Malaysia, begitu juga sebaliknya.
 
MoU itu ditandatangani Ketua Pelaksana Harian Badan Koordinasi Keamanan Laut, Laksamana Madya Y. Didik Heru Purnomo yang mewakili Indonesia manakala Malaysia diwakili Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab.
 
Terbaru, sebuah kapal nelayan Malaysia yang didapati menceroboh dan menangkap ikan di Pandan Islet telah diletupkan pihak berkuasa Polda Sumut menggunakan dinamit selepas mendapat kebenaran mahkamah.