Ahad, 22 Februari 2015

'Naik tambang feri PP ibarat rompak rakyat'

MALAYSIAKINI



 


Cadangan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) untuk menaikkan tambang feri terus mengundang rasa tidak puas hati.

Pemuda PKR Pulau Pinang berkata kenaikan itu jika berlaku dilihat sebahagian besar pengguna sebagai “rakus” dan ingin “merompak” rakyat.

Ini, kata Ketua Penerangan nya Nakshahbandi Sahar, ditambah lagi dengan beban pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan April ini.

“Kami meminta supaya pihak SPPP mendengar suara rakyat Pulau Pinang dan mempertimbangkan untuk menangguhkan cadangan kenaikan ini,sebaliknya pihak SPPP harus memperbaiki dahulu perkhidmatan feri yang mana sebelum ini agak kurang memuaskan,” katanya.

Kelmarin, bantahan sama dinyatakan oleh Pemuda Umno Pulau Pinang melalui surat bantahan kepada SPPP kerana kadar baru itu didakwa terlalu tinggi dan drastik.

Mengikut cadangan itu, kadar tambang motosikal bakal dinaikkan daripada RM2 kepada RM3.50, kereta daripada RM7.70 kepada RM9, pejalan kaki daripada RM1.20 kepada RM2 dan basikal daripada RM1.40 kepada RM1.50 sen.

Orang ramai boleh mengemukakan pendapat mengenai kenaikan itu sebelum atau pada 2 Mac sebelum keputusan muktamad dibuat, lapor Bernama.

Dalam kenyataannya hari ini, Nakshahbandi juga berkata pengguna perkhidmatan feri Pulau Pinang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang “cukup-cukup makan”.

Sayap kanan PKR Pulau Pinang itu juga menggesa orang ramai membantah cadangan itu sehingga ia ditangguhkan atau dibatalkan terus.

Tiada ulasan: