Khamis, 5 Februari 2015

Muhyiddin mahu pembekal, pengeluar jelaskan mengapa harga barang kekal

THE MALAYSIAN INSIDER


Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu tahu dari pengeluar dan pembekal mengapa harga barang masih tidak turun walaupun kos bahan api menurun. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Februari, 2015.Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu tahu dari pengeluar dan pembekal mengapa harga barang masih tidak turun walaupun kos bahan api menurun. – Gambar fail The Malaysian Insider,



Kerajaan akan memanggil pembekal dan pengeluar barangan untuk mendapatkan penjelasan berhubung harga barangan yang masih berada di tahap sama walaupun harga minyak dan kos pengangkutan telah diturunkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kesemua pihak terlibat akan dipanggil menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup yang akan dipengerusikan beliau dalam tempoh terdekat bagi memaklumkan faktor-faktor yang menyebabkan keadaan itu berlaku.

"Kita akan dapatkan penjelasan dan keterangan daripada pihak pembekal dan pengeluar. Mereka boleh maklumkan kepada kita dan beritahu mengapa harga (barang) tidak dapat diturunkan.


"Apakah faktor-faktornya dan jika boleh kita tangani, mungkin kita boleh bantu mereka. Kita kena lihat bahawa pengeluar juga ada aspek yang perlu difahami, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 59 mangsa banjir di Dewan Kampung Aur Gading, hari ini.

 Beliau berkata, jika ia berlandaskan alasan munasabah, kerajaan bersedia menerimanya, namun dalam masa yang sama rundingan akan terus dilakukan supaya peniaga menurunkan harga untuk melindungi pengguna.

"Sudah pasti ada caranya untuk turunkan harga dan persatuan pengguna juga boleh mainkan peranan mengajar pengguna untuk berbelanja secara berhemah," katanya.

Muhyiddin turut meminta rakyat supaya realistik dan bukannya bersikap terburu-buru atau emosional dalam isu berkaitan harga barang, walaupun harga barang sewajarnya tidak patut kekal dengan harga minyak telah diturunkan.

Dalam mesyuarat itu, katanya, beliau juga akan mendapatkan laporan terperinci daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan agensi terlibat berhubung isu itu.

"Saya tak boleh buat andaian sehingga dapat tahu maklumat sebenar dan data tepat kerana isu ini mengenai semua, tak kira apa kaum atau keturunan, semua hendak tahu cara untuk menurunkan kos sara hidup," katanya. – Bernama, -

Tiada ulasan: