Jumaat, 20 Februari 2015

MIC barah BN perlu bijak tangani

Oleh Shawaliah Hadir
Post Pic



PUTRAJAYA: Kemelut MIC jika tidak ditangani segera akan menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN), demikian kata penganalisis politik Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.

Katanya, walaupun kemelut MIC itu dilihat seolah-olah sukar untuk dirungkai, kebijaksanaan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi BN diperlukan dalam hal ini.

"Ditelan mati mak diluah mati bapak. Begitulah keadaannya sekarang. Kalau Najib sebagai Pengerusi BN terlibat atau tidak, kedua-kedua susah.

"Bagi saya ini merupakan barah kepada BN. Dari segi sejarahnya, lepas isu Hindraf … masyarakat India sukar dirapati BN. Kalau perpecahan itu tidak ditangani dengan baik ia akan menimbulkan pelbagai masalah.

"Najib harus buat keputusan walaupun ya, apa juga keputusan akan ada kesannya kepada kelompok-kelompok dalam MIC itu," katanya kepada Antarapos.

Dr Shaharuddin berkata, kemelut dialami parti komponen BN itu sebenarnya sudah mula kelihatan semenjak kepimpinan S. Samy Vellu lagi. Namun semakin meleret sehingga kini di mana kelihatannya presiden terkini G. Palanivel dan timbalannya Datuk S. Subramaniam bermusuhan dan enggan berkompromi.

"Jadi kepimpinan BN perlu membuat keputusan yang tepat. Nak pilih macam mana sekalipun sama ada buat pemilihan semua, merupakan satu isu yang timbul sejak kepimpinan Samy Vellu," tambahnya.

Pada 9 Februari lalu, ROS memutuskan bahawa MIC perlu mengadakan semula pemilihan bagi semua jawatan daripada peringkat presiden hingga cawangan parti.

Antara arahan ROS ialah anggota CWC yang dipilih pada 2009 akan memegang jawatan sebagai anggota CWC sementara sehingga proses pemilihan semula selesai sepenuhnya.
 

Tiada ulasan: