Isnin, 2 Februari 2015

Mayat ditemui dibungkus dalam plastik hitam

MALAYSIAKINI


Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing, yang dibungkus dengan plastik hitam, ditemui dalam semak berhampiran ladang kelapa sawit di Kubang Menerong, Tasek Gelugor di Kepala Batas semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata mayat lelaki bersama sekeping nota itu ditemui pada jam 3.30 petang oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkan mengenainya kepada polis.
  
"Lelaki  itu menemui bungkusan plastik hitam seperti mayat dikafan selepas terhidu bauan wangi di kawasan semak itu...dipercayai air mawar yang disiram ke atas mayat itu.
  
"Bersama mayat itu terdapat sekeping kertas yang diletakkan atas dadanya yang ditulis nota dalam Bahasa Melayu iaitu 'Assalamualaikum, Nama saya Farouk, saya Muslim, saya mahu sembahyang dulu'," katanya ketika dihubungi semalam.

Namun, polis tidak menemui dokumen pengenalan diri pada mayat berkenaan.
    -
Abdul Rahman berkata tiada sebarang kecederaan atau kesan lebam ditemui pada mayat itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
  
"Polis  sedang menyiasat punca sebenar kematian mangsa. Mayatnya dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat," katanya.
  
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
  
Di Gua Musang,  sepasang suami isteri warga emas antara enam orang yang diberkas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang kerana dipercayai mengedar dadah sepanjang bulan lepas.
  
Ketua Polis Daerah Gua Musang Sup Saiful Bahri Abdullah berkata pasangan itu, masing-masing berusia 66 dan 58 tahun, ditahan dalam Ops Jala berhampiran Kampung Bertam pada 2 petang, Jumaat lepas.
  
Beliau berkata pemeriksaan ke atas suami isteri itu menemukan 587 biji pil warna merah dan enam biji warna hijau dipercayai pil kuda bersama tiga botol kecil dadah dipercayai heroin bernilai RM16,500.
  
“Pil berkenaan bersama debu heroin dibungkus dalam surat khabar dan disorok di dalam coli dipakai wanita warga emas itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di IPD Gua Musang semalam.

Beliau berkata pasangan itu yang berasal dari Rantau Panjang ditahan ketika menaiki sebuah kereta dalam perjalanan dari Jeli ke Gua Musang, dipercayai untuk memasarkan dadah itu di sekitar bandar ini.
  
Saiful Bahri berkata pada 1.45 petang 22 Jan lepas, polis turut menahan dua lelaki dan menemui empat botol cerah berisi serbuk puteh dipecayai dadah dalam kereta dinaiki mereka.
  
Beliau berkata lelaki berumur 22 dan 27 tahun itu ditahan di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh.
  
Selain itu, seorang lelaki ditahan di hadapan Klinik Chiku 3 pada 8 malam 23 Jan lepas dan polis menemui enam botol serbuk puteh dipecayai heroin dalam kotak tisu di dalam keretanya.
  
"Pada 5.10 petang, 27 Januari lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan menemui 13 botol berisi serbuk puteh dipercayai dadah dan 51 biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda di dalam beg galasnya," kata Saiful Bahri.
  
Kesemua suspek itu akan didakwa di bawah Seksyen 39 (B) dan Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.   
- Bernama

Tiada ulasan: