KUALA LUMPUR - Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menumpukan usaha menarik simpati antarabangsa bagi memberi tekanan kepada kerajaan untuk membebaskan ketua pembangkang itu daripada hukuman penjara.
Anaknya yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, berkata keluarganya akan menggerakkan kempen dikenali "march of freedom" dengan nadi perjuangannya kononnya untuk membebaskan ayahnya itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media di kediaman Anwar di Segambut Dalam, di sini, sebentar tadi.
Sidang media itu turut dihadiri lima lagi adik-adiknya. Bagaimanapun, ibunya yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tidak kelihatan.
Ditanya sama ada kempen itu mendapat sokongan PAS dan DAP, Nurul Izzah berkata sekretariat kempen itu juga akan diketuai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.
Nurul Izzah juga berkata, beliau belum lagi dibenarkan berjumpa bapanya yang dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh sejak semalam dan akan akan meminta bantuan peguam.
Malah, Nurul Izzah dan adiknya, Nurul Nuha Anwar juga meragui tahap keselamatan bapa mereka di penjara dengan meminta pihak berkuasa memberi jaminan.
"Bukan soal tak percaya saja.. kita tidak mendakwa, tapi menyatakan supaya berilah sedikit jaminan kepada kami," katanya sambil mendakwa bapanya itu pernah diracuni ketika dihukum penjara sebelum ini.
Menyentuh sama ada Nurul Nuha bakal menjadi pewaris baru kepada keluarga Anwar untuk berkecimpung dalam dunia politik, Izzah berkata ia satu cabaran yang besar dan sukar diputuskan pada saat ini.
Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar untuk membatalkan sabit bersalah oleh Mahkamah Rayuan dan hukuman penjara lima tahun terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008.
Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan