Ketua
Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri
Anwar Ibrahim tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar keputusan
terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas
pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di Istana
Kehakiman di Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini lucut kelayakan
sebagai seorang ahli Parlimen berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan
mengekalkan hukuman penjara lima tahun setelah menolak rayuannya
terhadap sabitan dan hukuman penjara itu bagi kesalahan meliwat bekas
pembantu peribadinya tujuh tahun lalu.
Ini adalah kali kedua, Anwar lucut kelayakan sebagai ahli Parlimen
setelah didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum penjara melebihi
setahun.
Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang ahli
Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman
penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan
sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan
pada 7 Mac tahun lepas terhadap sabitan meliwat Mohd Saiful Bukhari
Azlan, yang ketika itu berusia 23 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa
Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10
petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, mengetuai panel lima anggota
terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff serta
hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri
Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Sebelum ini pada 14 April 1999, Anwar didapati bersalah dan dihukum
penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas empat tuduhan
rasuah terhadapnya.
Anwar, 67, dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang mula
bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum keenam
pada April 1982 atas tiket Barisan Nasional dengan mengalahkan calon
Pas, Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi.
Beliau telah mempertahankan kerusi itu sehingga dijatuhi hukuman
penjara pada 14 April 1999, dan kerusi tersebut dimenangi oleh isterinya
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada PRU10 pada November 1999.
Dr Wan Azizah telah terus mempertahankan kerusi itu sehingga meletak
jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada Anwar untuk
bertanding kerusi itu dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos, 2008.
Anwar yang dibebaskan daripada penjara pada 2 September 2004, tidak
dibenarkan berpolitik selama lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh
pembebasan.
Anwar memenangi semula kerusi itu dengan mengalahkan calon BN, Datuk
Arif Shah Omar Shah dengan memenangi majoriti 15,671 undi. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan