Rabu, 11 Februari 2015

Kakitangan Bernama TV berdemo tuntut tunggakan gaji

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Hampir dua bulan tidak dibayar gaji, seramai kira-kira 20 kakitangan Bernama TV mengadakan perhimpunan aman di Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam bagi menuntut bayaran tunggakan gaji daripada majikan mereka.
 
Para peserta tersebut antara lainnya membawa kain rentang dengan slogan 'Mana Shabery', merujuk kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 
 
Sebahagian daripada saham Bernama TV dipegang oleh agensi berita nasional Bernama, yang terletak bawah bidang kuasa menteri tersebut.
 
Difahamkan seramai kira-kira 140 kakitangan diarah bercuti kerana Bernama TV tidak mampu menanggung bayaran gaji mereka.
 
Gaji terakhir yang diterima adalah pada 24 Disember.
 
Bernama TV dimiliki oleh Bernama TV Synergy Bhd, dengan pegangan 33 peratus oleh Bernama. Selebihnya dimiliki oleh pemegang saham swasta.
 
Para peserta itu turut membangkitkan isu sama yang dihadapi oleh pekerja separuh masa di stesen penyiar nasional, RTM.
 
Ada di kalangan kakitangan separuh masa RTM itu terpaksa menjual kelapa dan bekerja di restoran makanan segera dan menangguhkan rancangan untuk mendirikan rumah tangga kerana masalah bayaran gaji.
 
Seorang daripada peserta perhimpunan semalam membawa plakad dengan slogan: "BTV, RTM, Lawan tetap lawan".
 
Selain itu,  Astro Production iaitu anak syarikat penyedia televisyen berbayar Astro - juga dilaporkan telah memberhentikan seramai 60 kakitangan mereka dengan notis 24 jam.

Tiada ulasan: