MALAYSIAKINI
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tertanya-tanya sama ada
penurunan kadar tarif elektrik, mempunyai apa-apa kaitan dengan pilihan
raya kecil Permatang Pauh yang bakal diadakan.
"Mengapa ia hanya untuk empat bulan? Ia sepatutnya satu tahun sekurang-kurangnya.
"Adakah pemotongan tarif elektrik yang diumumkan itu kerana pilihan raya
kecil Permatang Pauh?" katanya kepada pemberita hari ini.
Jika
ini benar, tambahnya, maka ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
telah memberikan rakyat Malaysia hadiah yang sangat baik dengan masuk ke
penjara.
Anwar yang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh
kerana disabitkan atas tuduhan liwat, mempunyai 14 hari untuk memohon
pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Lim berkata, mengikut undang-undang, pilihan raya kecil itu perlu
diadakan dalam tempoh 60 hari jika MP Permatang Pauh itu enggan memohon
pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong, atau jika beliau gagal dalam
permohonannya itu.
'Mengapa empat bulan?'
Mengenai tarif baru elektrik, Lim yang juga setiausaha agung DAP
menggesa agar ia dikurangkan sebanyak 35 peratus, berdasarkan keuntungan
yang diperolehi oleh pembekal elektrik negara, TNB, tahun lepas.
"Kami tidak meminta pemotongan 50 peratus mengikut penurunan
harga minyak, yang turun dari USD105 kepada AS$50 setong," kata Lim.
"Kami mempersoalkan mengapa empat bulan sahaja untuk pengurangan kadar
tarif itu apabila harga minyak dijangka kekal pada AS$50 setong -
pengurangan 50 peratus," tambahnya.
Lim merujuk kepada pengumuman Menteri Air, Tenaga dan Teknologi, Datuk
Maximus Ongkili bahawa kadar baru itu adalah untuk tempoh dari 1 Mac
hingga 30 Jun.
Dengan kadar baru itu, kata menteri berkenaan, pengguna boleh
menjimatkan antara RM13 dan RM45 sebulan bergantung kepada kadar
penggunaannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan