Rabu, 11 Februari 2015

Golf sukan rakyat: Logikkah minat peribadi dijadikan dasar negara?

Najib_Obama_golf
Gambar: Najib Razak ketika bermain golf bersama Barack Obama di Hawaii

oleh AHMAD ANWAR ASYRAF 


Acapkali kata-kata yang terkeluar dari mulut Perdana Menteri dan Menteri Kabinet seolah-olah tidak senada dengan aspirasi rakyat ketika ini. Ia umpama sebuah mimpi buruk yang mengganggu lena tidur para rakyat.

Terkini lagi sensasi, Perdana Menteri berkata bahawa beliau berharap agar Golf dapat menjadi sukan rakyat, di mana setiap rakyat akan bermain golf. Barangkali selepas mengadakan “golf diplomacy” dengan Barrack Obama, Perdana Menteri mendapat ilham yang cukup kreatif ini.

Sebelum Perdana Menteri menerobos jauh dengan Impian Golf ini, Perdana Menteri harus memfokuskan dahulu kepada usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

Menurut kajian Khazanah Research Institute (KRI) hanya 20% sahaja rakyat kita yang mempunyai pendapatan median sebanyak RM 9,796 sebulan dan bagi individu pula, pendapatan median bulanan adalah pada angka RM 1,700.

Saya tidak menafikan ketika ini golf bukan lagi sukan yang dikira mahal. Malah dalam keadaan dunia perniagaan online, kita boleh sahaja mendapatkan kayu-kayu golf terpakai pada harga yang lebih murah. Akan tetapi, ketika ini di kala ketegangan kewangan ekoran kos sara hidup yang memuncak sudah pasti akan membataskan kelompok 80% rakyat daripada bermain golf.

Apa lagi dengan pendedahan bahawa isirumah dalam negara secara puratanya menggunakan lebih daripada 40% daripada pendapatan boleh guna bulanan mereka untuk membayar hutang.

Sebagai seorang rakyat biasa yang tergolong dalam kelompok 80% itu, saya lebih berhati-hati dalam berbelanja dan seringkali berfikir sedalam-dalamnya sebelum berbelanja. Selalunya, saya mengutamakan barang-barang keutamaan asas daripada kehendak peribadi. Saya rasa ramai lagi rakyat di luar sana yang berkongsi situasi yang sama.

Selain itu faktor masa. Walaupun kos bermain golf mungkin sudah sedikit murah tetapi kita akan menghabiskan masa sekurang-kurang 4 jam di atas padang golf sedangkan waktu itu lebih berkualiti jika kita guna untuk bekerja atau diluangkan kepada anak isteri.

Perdana Menteri juga menyatakan hasratnya agar golf ini dapat diperluaskan di peringkat sekolah dan beliau juga bersedia untuk menambah lebih banyak peruntukan bagi perkara ini. Ini adalah impian luhur untuk memartabatkan industri sukan.

Tetapi lebih baik sepenuh kekuatan ditumpukan untuk membangunkan prestasi dan mengukuhkan nama Malaysia dalam sukan-sukan sedia ada dahulu.

Dalam dunia badminton, sebelum ini kita mempunyai Datuk Lee Chong Wei. Bergelar Pemain No. 1 Dunia tetapi adakah kita mempunyai pelapis yang cukup ramai dan hebat untuk kita mengekalkan status Malaysia sebagai kuasa badminton dunia?

Begitu juga Datuk Nicol David yang berhempas pulas mencipta sejarah demi sejarah sebagai Pemain No. 1 Dunia. Tetapi sayangnya Datuk Nicol David keseorangan di mercu dunia.

Malah, perjuangan Datuk Nicol David untuk membawa Squash ke pentas Olimpik juga nampak seperti tidak disambut kerajaan. Adakah kita berpuashati dengan sekadar mempunyai seorang Nicol David?

Seterusnya bolasepak, sampai bila agaknya kita akan terus memperkatakan legasi Mokhtar Dahari dan rakan-rakan? Korea Selatan sebuah negara yang setanding kita semasa zaman Mokhtar Dahari terus melahirkan bakat-bakat dunia. Hari ini pemain mereka berkeliaran di liga-liga Eropah. Bakat mereka diangkat oleh kelab-kelab ternama dunia.

Hoki, sepak takraw dan banyak lagi sukan yang menagih perhatian kerajaan dalam aspek pembangunan bakat dan potensi. Lagenda akan terus kekal sebagai lagenda.

Tetapi itu tidak bermaksud kita perlu kekal merenung kisah semalam tanpa ada usaha untuk melahirkan bakat baru yang ternama di peringkat dunia.

Pokoknya, inilah permasalahan utama negara. Kita tidak konsisten dalam melaksanakan dasar. Seringkali berubah-ubah.

Sepatutnya kita memberikan tumpuan penuh untuk menjayakan satu-satu dasar itu sebelum kita meneroka peluang yang lain. Ini tidak, dasar sedia ada masih lagi tidak menampakkan hasil yang baik, kita sudah bercerita mengenai dasar lain. Terlalu banyak dasar tidak akan menjadikan kita yang terbaik.

Atas nama rakyat, logikkah jika kita menjadikan minat peribadi kita sebagai dasar negara?

(*) Penulis adalah Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor

Tiada ulasan: