Ahad, 8 Februari 2015

Geramm: Tindakan JPM calar imej M'sia

MALAYSIAKINI


 


NGO Gerakan Media Marah (Geramm) mengecam tindakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyekat Malaysiakini daripada membuat liputan ke atas lawatan rasmi Presiden Indonesia, Joko Widodo bangunan jabatan tersebut semalam.

Apatah lagi, JPM sendiri meluluskan pas kepada wartawan Malaysiakini untuk membuat liputan acara tersebut, kata Geramm dalam kenyataannya.

Geramm juga kesal kerana media yang hadir ke majlis bersama Joko Widodo (Jokowi) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilarang dari bertanya sebarang soalan.

“Jokowi dikenali sebagai pemimpin yang mesra media dan selalu berani berhadapan soalan dari wartawan-wartawan di Indonesia, selaras dengan komitmen untuk mempertahankan prinsip kebebasan akhbar di republik itu.

“Walaupun jika pihak kerajaan Malaysia seakan agak keberatan mengiktiraf kebebasan akhbar, sekurang-kurangnya pihak berwajib patut menghormati sikap lebih mesra media tetamu dari negara jiran terbabit.

“Tentunya insiden ini akan mencalar imej Malaysia dan mencorotkan lagi kedudukan negara dari segi menghormati kebebasan akhbar,” kenyataan itu dipetik.

Tiada ulasan: